Tuesday, August 20, 2013

Isteri Kontrak :: Bab 3



DENGAN ini, saya, Habibah binti Darus menyatakan persetujuan untuk bernikah dengan Qassif Daniel bin Datuk Mansor, dengan syarat-syarat di bawah:

1) Saya tidak akan mendedahkan berita pernikahan kepada orang ramai, media massa dan mana-mana pihak yang berminat. 

2) Pendedahan hanya boleh dilakukan oleh Qassif Daniel bin Datuk Mansor kepada pihak-pihak yang tertentu.

3) Saya tidak dibenarkan untuk menuntut sebarang hak di dalam rumah tangga dan pengurusan syarikat. Saya tidak boleh mencampuri urusan perniagaan syarikat Qassif Daniel bin Datuk Mansor dan keluarganya.

4) Saya tidak akan memaksa Qassif Daniel bin Datuk Mansor untuk membawa saya ke rumah keluarganya dan majlis-majlis saudara-maranya atau majlis peribadinya. 

5)  Saya akan hadiri (sekiranya perlu) ke majlis-majlis formal sebagai kapasiti seorang isteri kepada Qassif Daniel bin Datuk Mansor. 

6) Saya tidak akan menghalang hubungan Qassif Daniel bin Datuk Mansor dengan mana-mana wanita lain.

7) Saya dibenarkan untuk belajar, bekerja atau mengusahakan perniagaan dengan tidak melibatkan nama Qassif Daniel bin Datuk Mansor. 

8)  Perkahwinan ini adalah atas kerelaan saya sendiri dan tertakluk pada jangkamasa yang akan dibincangkan bersama Qassif Daniel bin Datuk Mansor. Saya tidak boleh menuntut sebarang perpisahan selama tempoh tersebut. 
9)      Saya tidak dibenarkan untuk mengungkit pernikahan kontrak ini dan sebab musabab pernikahan ini berlangsung di antara saya dan Qassif Daniel bin Datuk Mansor. 
10)   Saya akan mengeluarkan permintaan dan pertanyaan secara rasmi sekiranya saya memerlukan sebarang maklumat yang berkaitan dengan pernikahan saya dengan Qassif Daniel bin Datuk Mansur.
11)   Saya akan menerima hadiah perkahwinan sebanyak RM2,000,000 (Ringgit Malaysia Dua Juta Sahaja) dan elaun bulanan sebanyak RM5,000 (Ringgit Malaysia Lima Ribu Sahaja) selama saya bergelar isteri kepada Qassif Daniel bin Datuk Mansor. 
12)   Sekiranya saya melanggar mana-mana perjanjian yang tercatat di atas, Qassif Daniel bin Datuk Mansor boleh mengambil tindakan undang-undang terhadap diri saya. 
Mata Habibah masih buntang walaupun telah selesai membaca terma dan syarat yang tercatat di kertas putih bersaiz A4 itu berkali-kali, dirinya terasa amat tertipu dengan sandiwara perkahwinan atau kehendaknya sendiri.
Wajah Qassif Daniel yang bersahaja dan tenang di hadapannya di tenungnya lama, dia mengamati setiap pelusuk wajah itu, buat pertama kalinya hatinya kuat untuk bertentang mata dengan suami yang dikahwininya secara kontrak itu. Wajah itu sebenarnya kacak, lelaki itu memang segak, bagaikan si miskin yang bermimpi mengahwini putera raja kaya raya, mitos dongeng itu menjadi kenyataan ke atas dirinya, Habibah sepatutnya berbangga. Lelaki itu tidak menyimpan sebarang kumis dan itu memang diimpikan oleh Habibah, dia menjadi geli gelaman dengan lelaki yang berkumis atau berjambang lebat. Kulit lelaki itu putih kemerah-merahan, tidak seperti kulih Habibah yang kuning langsat. Lelaki itu tinggi segak. Aku cuma seorang anak yatim piatu, dan cintaku sering dipermainkan…Cinta? Bila masa pulak aku jatuh cinta pada Qassif? Tidak langsung terlintas di hati perkataan cinta dan sayang selama kami berkenalan. Minda dan hati Habibah saling bertelingkah buat masa ini dan Habibah kian bingung.
                “Bibah…”
                Boleh tak jangan panggil aku macam tu. Sedih tau. Awak tak sayang saya, awak hanya gunakan saya, untuk apa saya tak tahu tapi kontrak awak mengatakan saya tak boleh mempersoalkan perkahwinan ini.
                “Bibah… Qassif minta maaf sekiranya ini memeranjatkan Bibah.”
                Maaf?
                “Qassif terpaksa berbuat begini sebab sudah tidak ada pilihan lain, dan teman wanita Qassif masih belum bersedia untuk berkahwin!”
                Habibah mengerling jam tangan di tangan kanannya. Wow, belum pun genap enam jam aku bernikah, aku dah membayangkan kehancuran hidup aku sendiri, aku dah mengetahui yang suami aku memang orang kaya, anak orang ternama walaupun aku tak kenal siapa itu Datuk Mansor, dia ada teman wanita yang dicintainya dan yang menduduki carta top rumahtangga kami adalah, perkahwinan ini hanyalah kontrak semata-mata. 
                “Saya tak bermaksud untuk menggunakan awak Bibah, tapi saya berjanji untuk menjaga kebajikan awak selama awak menjadi isteri saya. Dan saya tidak akan menghalang sekiranya awak mempunyai orang lain atau teman lelaki selain saya.”
                Awak tak menghalangnya walaupun awak berhak Qassif, tapi hukum agama menghalang aku untuk melangkahi batas seorang isteri. Habibah semakin bingung.
                Please say something Bibah, but I really hope that I can rely on you!”
                Rely on what?
                “Bibah?”
                Sunyi.
                Habibah menguis hujung lengan baju pengantinnya, erm… cantik baju ni, entah di butik mana dan siapa perekanya, Habibah sendiri tidak pernah ambil tahu. Baju pengantinnya memang cukup kaya dengan manik dan labuci, putih bersih warnanya cuma… Cuma hatinya yang tidak dapat menjawab pertanyaan mindanya lagi.
                “Habibah?”
Habibah mendongak dengan pandangan matanya yang berkaca, wajah Qassif Daniel menari-nari mengikut alunan air matanya yang bagaikan segan hendak melabuhkan diri, sedangkan kolam mata Habibah sudah tidah terdaya untuk menampungnya.
Qassif Daniel mula serba salah, andaikan gadis atau lebih afdal wanita itu memakinya, dia pasrah kerana tiada manusia yang merelakan dirinya diperlakukan sedemikian rupa. Dan Qassif Daniel tetap menanti jawaban dari ‘isterinya’.
“Qassif…”
“Ya?”
“Bila kita nak jumpa lawyer awak?”
Qassif Daniel serta merta menguntum senyum, senyuman itu tembus masuk dan mencarik-carik sekeping hati Habibah. Buat masa ini, Habibah hanya mahukan agar Qassif segera keluar dari bilik pengantin mereka, dan dia bercadang untuk segera menukar persalinan pengantinnya, dia ingin mandi, dia ingin membasuh rambutnya, membersihkan mekapnya dan yang paling utama, dia ingin menangis semahu-mahunya.

*****
“Terima kasih Bibah kerana sanggup bekerjasama.” Ujar Qassif Daniel sebaik sahaja mereka keluar beiringan dari pejabat Malik & Hamidi Associates. Habibah hanya membalas dengan senyuman hambar.
“Saya memang mengambil cuti hari ni, untuk menyelesaikan perkara-perkara tertangguh ni.”
Perkara tertangguh kau panggil?
“Kita boleh selesaikan kesemuanya hari ni kalau awak nak.” Habibah diam lagi.
“Bibah!”
Habibah mendongak. Wajah Qassif Daniel yang putih kemerah-merahan di pandang tajam. Qassif Daniel menguntum senyum, Habibah tertunduk malu. Hati wanitanya tersentuh.
“Kita ke bank ya?” Ajak Qassif Daniel.
“Bank? Buat apa?”
“Awak kena depositkan cek awak!” Lantas Habibah teringat akan dua keeping cek yang diberikan oleh peguam Hamidi sebentar tadi. Dua Juta Ringgit Malaysia sebagai persetujuan ke atas kontrak perkahwinannya dan Lima Ribu Ringgit sebagai elaun bulan pertama menjadi isteri Qassif Daniel. Jantung Habibah seakan terhenti apabila menerima dua keeping cek yang tertera jelas namanya itu. 
“Oh tak apa! Kita buat kemudian.” Ujar Habibah. Sekiranya perkahwinan ini adalah satu kontrak, dia tidak ingin untuk terlibat dengan sebarang urusan peribadi dengan Qassif Daniel. 
                Qassif Daniel membuka pintu kereta dan Habibah segera memboloskan dirinya ke tempat duduk di kereta mewah BMW 5-series itu. Qassif Daniel masih menguntumkan senyuman kepuasan. Hati Habibah mencarit seribu calar. Air matanya ditahan-tahan, hati wanita itu sememangnya kuat dan teguh, lantaran nasib yang menghantarnya ke rumah anak yatim, dibesarkan dalam serba kekurangan namun jiwanya kental, akalnya sentiasa didahulukan untuk mengatasi segala keputusan, Habibah menghela nafas panjang. 
                Bibir Qassif Daniel masih mengulum senyum gembira, dia menekan pedal minyak dan kereta mewah itu terus meluncur megah. Sesekali dia menjeling Habibah di sampingnya, isteri kontrak yang bersetuju dengan segala syaratnya dengan mudah. Mungkin tidak semudah itu sekiranya Habibah tidak dibayar dengan mewah. Perempuan dari rumah anak yatim itu bersetuju dengan sekelip mata segala syaratnya. Dasar mata duitan!
                Aku bukan mata duitan. Aku tidak perlukan duit kau. Namun jika ini permainan yang kau inginkan, aku akan turut serta. Engkau memperlekehkan anak yatim ini, namun aku tidak akan mendoakan ketidak baikan kepada engkau kerana engkau tetap suami aku. Habibah mengigit bibirnya, buat masa ini dia tidak ingin membayangkan kehidupannya, baru semalam dirinya masih menghuni di rumah anak yatim yang serba kekurangan, namun segalanya terikat dengan kasih sayang yang erat, saling berkongsi segala kekurangan dan kegembiraan bersama. Namun pada hari ini, dia menjadi seorang isteri, walaupun hanya secara kontrak, bukan sahaja itu, dia juga kini bergelar jutawan!

[BERSAMBUNG...]







12 comments:

  1. Menarik cerita ni...sy sudah jatuh cinta..simpati kpd bibah..tak faham nape Qassif kawin dgn bibah..nk kata family qassif paksa kahwin tak plak diceritakan..blur kejap..hope writer leh explain...hehehe...hope bibah tabah....geram gak pada qassif..sesuka hati mempermainkan perasaan org..mentang2 la kaya..nak marah ni..hehe..bibah pasni tak yah layan sgt qassif tu..maju diri sendiri...duit byk kan..pastu mintak cerai...(hahaha...gelak jahat..wat cite sendiri plak)....harap writer cpt sambung...best la..

    ReplyDelete
  2. Hi Nira,

    Thanks for your support. Saya baru mencuba, saya sendiri teruja bila ramai yang menyukai novel imaginasi saya ni. Harap satu hari nanti ia boleh diterbitkan :)

    ReplyDelete
  3. Menarik jugak criter ni but hopefully watak Bibah ni biarlah jadi wanita yg tabah, baik hati & berwawasan. Rasanya dah letih la dgn watak perempuan yg lemah lembut & selalu ditindas. So Cik Writer, pls jadikan watak Bibah ni seorang perempuan yg boleh jadi inspirasi...barulah meletop!! Good luck ye!!

    ReplyDelete
  4. Amoi... cepat kau update ni cerita ... nda sabar sudah ni mau tau cerita nya...

    ReplyDelete
  5. sabar ging, kesibukan melanda hahaha

    ReplyDelete
  6. Sy sokong komen dari ida tu..hope penulis create kan watak wanita yg tabah dlm hidup..tak suka la kalu dlm mana2 novel asyik tunjukkan wanita lemah pastu ditindas di hina...pastu nangis...chaiyokk3 untuk penulis...semoga idea mencurah utk menghasilkan karya yg bagus..

    ReplyDelete
    Replies
    1. Hi Nira, saya pasti Akan buat kelainan:) thank you.

      Delete
  7. First time bce terus fall in love :) saya suka watak bibah 2 ;)

    ReplyDelete
  8. 1st bab, mcm baca buku sekolah (ok.. frankly ok...jgn marah!) ..bila dah masuk bab 2.. dah ada mcm novel n cerita semakin menarik .. nak tahu apa yg Bibah nak buat jugak utk ajar si Suami tu ... mmm ...
    Byk soalan atas kepala ni..

    ReplyDelete
  9. Dear Mr123456789COM,
    Pada mulanya belum ada idea yg luas, abstrak je.. tidak marah :) sbb saya pun baru mencuba :) persoalan akan terjawab... terima kasih for visiting :)

    ReplyDelete