Thursday, August 22, 2013

Isteri Kontrak :: Bab 4



“Bibah!”

Habibah terperanjat. Mug yang berisi milo panas nyaris terlepas dari tangannya. Bila masa pula Qassif ni masuk? Buat seketika Habibah terlupa yang rumah itu masih milik Qassif Daniel dan lelaki itu mempunyai hak untuk keluar masuk ke rumah itu. Qassif Daniel turut terperanjat dengan tingkah Habibah. Semenjak bernikah, Qassif Daniel memang tidak pernah bermalam di kondominium mewah itu. Dia hanya datang sekali sekala menjenguk Habibah, yang tidak dinafikan kini menjadi tanggungjawabnya. 

“Awak OK?”

Habibah mengangguk sambil menghadiahkan satu senyuman polos. Qassif Daniel mengamati gadis itu dari atas kepala hingga ke hujung kaki. Habibah hanya memakai T-Shirt lusuh bewarna kuning dan berseluar panjang. Rambutnya yang panjang ke paras dada disimpul-siput. Qassif Daniel menggelengkan kepalanya, “Aku dah bagi duit dua juta, tak berubah juga budak ni,” desis hatinya.

“Bibah dah breakfast?”

“Err… baru nak breakfast!”

Qassif Daniel memanjangkan leher kearah counter top. Tiada apa-apa makanan yang terhidang disitu.

“Milo aje?”

Habibah mengangguk laju sambil tersenyum. Terasa kepalanya ringan dan hendak tercabut. Qassif Daniel menghela nafas panjang.

“Dah! Pergi mandi dan tukar baju, kita breakfast kat luar.” Qassif Daniel menarik lengan Habibah lembut, Habibah menurut sambil berjalan berjengket-jengket kerana takutkan milo panasnya yang masih berwap itu tumpah. Qassif Daniel tidak memahami mengapa hatinya berasa kasihan dengan wanita itu, yang dikahwininya atas dasar kepentingan dirinya, kepentingan keluarganya.
Langkah mereka terhenti di ruang tamu, di sana, di tepi sofa merah hati itu, seorang wanita berdiri sambil menguntum satu senyuman manis. Hati Habibah berombak kencang, mungkinkah itu buah hati suaminya? Habibah menelan air liur. Wanita itu sangat cantik dan berpenampilan amat menarik. Dia memakan dress merah sampai ke paras lutut, rambutnya ikal dan dilepaskan melepasi bahu, wajahnya disolek tipis namun cukup untuk menyelahkan kejelitaannya dan… ya wanita itu memang mengagumkan. Habibah merasa dirinya sungguh kecil, ingin sahaja dia berlari dan menyorokkan dirinya yang dirasakan teramat buruk itu. 

“Hai Bibah, panggil saya Maya.” Wangian yang dipakai wanita itu juga semerbak. Aku pula tak mandi lagi, dengus hati Habibah. Dia menyambut tangan yang dihulurkan oleh Maya, jabatan tangan yang sungguh mesra. Entah mengapa hati Habibah tersemat rasa lega.

“You are such a pretty girl!”

Pujian Maya mencetuskan ketawa kecil dari bibir Qassif Daniel. Habibah menjegilkan matanya tajam. Qassif Daniel terus mematikan tawanya.

Bibah, Maya is going to be your personal shopper, and also your image consultant.” Sekali lagi Habibah menjegilkan matanya. Personal shopper? Apakah bendanya tu?

“Perlukah ini semua err… awak?”

Qassif Daniel tersenyum dan menganggukan kepalanya lembut, Maya tersenyum lebar, Habibah sedar, kehidupannya benar-benar tidak dapat dijangkakan kini.

*****
Assignment pertama awak ialah berjumpa dengan mummy dan daddy saya.” Ujar Qassif Daniel selepas selesai bersarapan di Kafe Bonda. Habibah tercengang, Maya tersenyum.

“Maya akan membawa awak membeli belah, awak jangan risau sangat, everything is going to be okay!” Qassif Daniel faham Habibah pasti berdebar untuk bersua muka buat kali pertamanya dengan mertua. Habibah memberikan pandangan kosong.

Maya bukan buah hati Qassif Daniel. Tapi dia adalah antara rakan baik lelaki itu dan telah diupah untuk mengubah penampilan Habibah. Wanita itu amat ramah dan Habibah senang dengannya. Maya juga merupakan seorang perunding imej dan sedang berjinak-jinak di dalam rekaan fesyen. Habibah merasa teruja dan kagum dengan wanita itu. 

Kaki Habibah lenguh selepas seharian keluar membeli-belah dengan Maya. Citarasa Maya terhadap fesyen memang sangat tinggi. Dari butik baju ke butik kasut ke butik beg tangan hinggalah ke kaunter alat solek, Habibah mula merasa tempias keseronokan dengan kehidupan barunya sebagai isteri kontrak yang jutawan. But kereta Maya penuh dengan barangan milik Habibah. Penat membeli belah, Maya membawa Habibah ke pusat spa, Habibah pada awalnya menolak kerana malu untuk mengenakan lingerie yang amat seksi itu, namun setelah dipujuk oleh Maya dan yakin semua pekerja spa adalah perempuan, Habibah akhirnya akur.

Maya turut membawa Habibah ke salun rambut untuk mencuci rambut, pada mulanya Habibah merasa geli gelaman apabila kepalanya dipicit lembut namun Maya berjaya mengajarnya untuk menikmati urutan demi urutan itu. Rambut Habibah turut ditrim, bulat mata Habibah melihat helaian rambutnya jatuh ke lantai salun. Namun Habibah tidak nafikan, fesyen rambut barunya memang memuaskan hatinya.

Maya… Habibah mula merasa selesa dengan wanita cantik dan lincah itu. Wanita itu juga bijak dalam meilih fesyen yang bersesuaian dengan Habibah, Habibah akur dengan kecetekan ilmunya di dalam dunia fesyen, dia lebih gemar mengenakan blouse longgar dengan seluar atau skirt panjang setiap hari, seleranya terhadap fesyen memang tidak pernah diambil kira, apa yang selesa dan murah, dia akan memakainya tanpa sebarang persoalan. Di rumah anak yatim mereka dididik untuk tidak memilih dan saling berkongsi. Satu ketika dulu, Habibah sangat rapat dengan Fiza, teman sebayanya yang menghuni Rumah Anak Yatim Seri Kenangan itu, kini Fiza berada jauh di Dublin menuntut ilmu kedoktoran. Gadis itu ternyata cemerlang di dalam pelajarannya dan berjaya mendapatkan biasiswa dari JPA untuk mengejar impiannya. Tiba-tiba Habibah merasa kerinduan yang teramat sangat pada Fiza. Mereka masih berhubung melalui email, segala-galanya diceritakan kepada rakan baiknya itu kecuali hal pernikahannya. Mesti sahabatnya itu pengsan dengan keputusan yang dibuatnya.

“Apa yang you menungkan?” Habibah hampir tersedak. Dia terlalu jauh membawa kenangan silamnya hingga terlupakan kewujudan Maya di hadapannya, mereka tekun menikmati minum petang di Starbucks setelah seharian membeli-belah. Habibah pantas mencapai helaian tisu di atas meja dan mengelap bibirnya. Maya menggeleng-geleng melihat kegopohan wanita itu. 

“Bila you kena jumpa dengan your in laws?” Tanya Maya.

“Saya tak tahu.” Jawab Habibah jujur. 

Daniel asked me to groom you, tapi I rasa you’d better be yourself!” Habibah tersenyum perit, tahukah Maya tentang kontrak diantara dia dan suaminya?

“Tak perlu menjadi orang lain sekiranya itu lagi mengekokkan pergerakan kita.” Tutur Maya lagi, Habibah mengakui kebenaran bicara Maya itu.

“Apa yang Qassif…errr… Daniel minta you buat pada I?” Amboi! Habibah tersenyum seketika kerana tiba-tiba membahasakan I dan you antara dirinya dan Maya. Inilah yang dikatakan masuk kandang kambing kenalah mengembek, bisik hatinya. 

“Buat masa ni, Daniel nak I concentrate on your dressing…” Aik? Teruk sangatkah dressing aku? Habibah meneliti pakaiannya, baju blouse biru air dipadankan dengan skirt hitam panjang… ermm agaklah. Teruk jugalah! Macam budak sekolah menengah yang hendak ke pertandingan koir peringkat daerah. 

So… mind to tell me? Macam mana you kenal dengan Daniel?” Sekali lagi Habibah tersedak, kali ini teruk sedikit sampai tersembur keluar café latte yang sedang dihirupnya. Maya turut panik dan cepat-cepat bangun sambil menepuk-nepuk lembut belakang Habibah.

I am ok…” Ujar Habibah smabil membuat isyarat tangan menandakan dia tidak apa-apa.

“Erm… I could smell something fishy here.” Ujar Maya akhirnya sambil mengambil tempat 
duduknya semula. Ikan saja ke? Sotong, udang takkan tak ada? Habibah membalas di dalam hati.
Deringan telefon bimbit Maya menghadiahkan kelegaan kepada Habibah. Qassif Daniel yang menelefon dan bertanyakan keadaan mereka, Maya memberitahu misi mereka selesai untuk hari tersebut kerana kasihankan Habibah yang keletihan. Habibah memang keletihan, dan sedikit mabuk dengan keadaan Pavillion yang dipenuhi orang dengan pelbagai ragam. 

Come let’s go, Daniel tunggu kita kat rumah, I mean your house!”

Pucuk dicita ulam mendatang, Habibah memang tidak sabar untuk ingin pulang.

*****

Maya telah lama meminta diri untuk balik ke rumahnya. Meskipun seharian bekerja dengan Habibah, namun wanita itu tetap nampak aktif, ceria dan bersahaja, tidak penatkah dia? Sedangkan Habibah sendiri merasa kepala lututnya seperti tercabut.

Qassif Daniel menyusul balik sejurus tidak lama Maya meninggalkan mereka. Perjumpaan sang isteri dengan keluarga mertua akan berlangsung jumaat malam, bererti ada dua hari lagi untuk Habibah hidup di dalam kegelisahan. 

Rich and famous lifestyle.

Habibah melayan malamnya dengan merenung barisan pakaian, kasut, beg tangan dan aksesori yang bertaburan di atas lantai. Dia berjanji akan mengemasnya tadi. Melihat kepada tag-tag pada setiap barangan dan helaian pakaian, Habibah tahu semuanya itu dari jenama terkemuka, bukan calang-calang, namun perlukah semuanya ini sekiranya hatinya makin lama makin kosong, sepi dan sunyi?
Jauh disudut hati, dia merindukan Ibu Salbiah, semenjak berpindah masuk ke kondomonium mewah itu, dia langsung tidak menelefon wanita yang hampir separuh abad itu. Dia takut dia akan menangis, dia takut dia akan segera berlari kembali ke rumah anak yatim yang banyak melakar kenangan dalam kehidupannya itu. 

Habibah juga merindukan adik-adik di rumah anak yatim itu. Betapa kemiskinan dan kekurangan yang mereka mengikat mereka erat di dalam kasih. Ada kepenuhan rasa cinta di sana. Fiza, rindunya membuak-buak pada sahabat baiknya itu. Habibah bercadang untuk mencari kafe siber keesokkannya untuk menghantar email kepada sahabatnya itu. Akaun Facebooknya juga sudah lama terabai. Habibah menguap beberapa kali, akhirnya dia tertidur berselimutkan gaun malam rekaan Bernard Chandran, berbantalkan beg tangan jumba Chanel sambil memeluk kasut Louis Vuitton.


BERSAMBUNG

5 comments:

  1. hehehehehe... tq..tq.. cepat lg update...taip laju2 for new n3 plz...

    ReplyDelete
  2. dah ada kat pasaran tak novel ni..

    ReplyDelete
  3. Best lah cerita ni. Looking forward to a different plot with strong bibah. And I wonder kenapa yg bab 5 tak boleh buka ye while the date written 28/8. :-)

    ReplyDelete
    Replies
    1. Thanks Darling. Saya akan cuba yg terbaik utk kelainan plotnya k. Bab 5 agaknya tersalah link... saya dah betulkan... ini linknya http://www.sosondoton.com/2013/08/isteri-kontrak-bab-5_28.html , again thanks and best regards :)

      Delete