Isteri Kontrak (Novel)

Wednesday, August 28, 2013

Isteri Kontrak :: Bab 5



 Kami sekeluarga akan balik bercuti selama seminggu. Kesinambungan novel Isteri Kontrak akan menyusul selepas minggu depan.

_____________________________________________________________________


“Dapat tak kau bayangkan masa depan kita?”

“Entahlah Fiza, aku sendiri tidak tahu untuk meramal masa depan aku.”

“Agaknya… kalau kita ditakdirkan untuk berkahwin satu hari nanti, bakal suami macam mana yang kau impikan?”

“Aku?” Habibah terkebil-kebil.

“Iya, kau lah!” Ujar Fiza sambil ketawa.

“Erm… aku… aku nak lelaki yang kaya raya, aku nak lelaki yang handsome, aku nak lelaki yang romantik gila dan hanya gilakan aku seorang…” Tawa kedua gadis itu pecah serentak, dan Fiza tahu itu bukanlah kriteria-kriteria suami impian Habibah.

“Fiza… aku amat rindukan kau,”,bisik hati Habibah. Hubungannya dengan Fiza memang akrab. Mereka membesar bersama dengan rakan-rakan yang lain di Rumah Anak Yatim Seri Kenangan. Umur mereka sebaya dan nasib mereka juga serupa.

Menurut rekod Jabatan Kebajikan Masyarakat, ibu bapa Habibah meninggal dunia akibat kemalangan ketika dia berusia dua tahun. Habibah merupakan anak tunggal dan saudara mara yang ada tidak dapat menjaganya dan demikianlah selepas itu dia menjadi penghuni di rumah anak yatim. Fiza kehilangan ayah kandungnya ketika dia berusia tujuh hari, dia juga merupakan anak tunggal, namun ibu kandungnya meninggal akibat kanser usus ketika dia berusia tiga tahun. Bezanya antara Fiza dan Habibah ialah, Fiza masih mempunyai makcik dan pakcik yang mengunjunginya ketika dia menghuni Rumah Anak Yatim Seri Kenangan, namun Habibah tidak pernah dikunjungi oleh sesiapa. Habibah pernah berniat untuk mencari keluarga terdekatnya apabila dia telah dewasa kelak namun sehingga kini hasrat itu belum dapat dilunaskan, dia belum memikirkan titik permulaan projek pencarian saudara terdekatnya. 

Habibah tersentak apabila bahu kanannya disentuh lembut dari belakang, serta merta dia memalingkan wajah dan mendongakkan kepala, Qassif Daniel tengah merenungnya tajam. Bila masa pula makhluk ni masuk ke dalam? Desis hati Habibah kehairanan. Lelaki itu persis halimunan, sekejap ada, sekejap lagi pasti hilang, datang tidak bersalam, pulang tidak berpesan.
“Apa yang awak menungkan?” 

Habibah tertunduk malu, mungkin Qassif Daniel sudah berkali-kali membunyikan loceng namun tidak didengarinya, dia mendayung lamunannya jauh hanyut tanpa sempadan. 

“Awak dah makan?”

“Belum… err… awak?”

Qassif Daniel menggeleng.

“Err… saya ada buat mee goreng, kalau awak lapar bolehlah makan…” Habibah mempelawa dengan malu-malu, telah hampir dua minggu mereka diijab kabulkan namun tidak sekalipun dia memasak untuk suaminya itu. 

Lelaki itu masih merenungnya tajam. Habibah semakin kekok. Akhirnya Habibah melangkah ke dapur, dia tidak dapat melayani lelaki itu sebagai suaminya kerana lelaki itu telah membina satu benteng kuat di antara mereka, dan benteng itu tidak akan mampu direbahkan oleh Habibah.
Habibah mengambil pinggan dan menyenduk mee goreng yang terhidang di atas meja, entah mengapa nalurinya memasak lebih sedikit pada pagi tadi. Dia meletakkan pinggan itu di kepala meja, disitu, satu kerusi telah tersedia. Habibah beralih ke kabinet dapur dan tangannya ligat mencapai mug, membuka bekas nescafe, gula dan krimer, menyenduknya satu persatu dan memasukkannya ke dalam mug, mengisi dengan air panas dan mengacaunya perlahan. Apabila dia berpaling, Qassif Daniel telah siap duduk di hadapan mee goreng yang disenduknya sebentar tadi. Dengan tertib Habibah meletakkan mug yang berisi nescafe panas di sebelah pinggan mee goreng yang dikhaskan untuk Qassif Daniel. Lelaki itu mencapai mug dan menghirup air nescafe perlahan, kelihatan matanya dipejam celik dek asap nescafe yang masih berkepul. Hirupan pertama air hasil tangan aku, desis hati Habibah, hatinya terjentik sedikit rasa bahagia. Lelaki itu mencapai garpu dan mula menyudu mee goreng itu ke mulutnya, suapan pertama itu dihayati oleh Habibah dengan penuh perasaan, debarannya mula berombak, apabila buah halkum lelaki itu bergerak menandakan mee goreng telah disalurkan ke dalam perut lelaki itu, Habibah melepaskan nafas kelegaan. Itulah dia makanan pertama hasil tangannya. 

Tanpa disuruh Habibah mencapai pinggan dan menyenduk mee goreng, duduk di samping lelaki itu dan menikmati mee gorengnya, Habibah sekadar ingin melengkapkan suasana itu sebagai makan bersama sebagai suami isteri buat pertama kalinya. Terselit rasa bangga yang besar di dalam hati kecilnya.

*****

Habibah telah siap. Dia mengenakan gaun malam bewarna hitam rekaan Dato’ Bernard Chandran, wajahnya telah selesai disolek oleh jurusolek yang didatangkan khas dengan bantuan Maya, beg berjenama Chanel bewarna merah darah disandangkan di bahu kanannya, terakhir ialah menyarungkan kasut stiletto bewarna hitam setinggi lima inci itu. Habibah mencuri pandang dirinya di cermin dan terasa jantungnya nyaris jatuh, transformasi dirinya yang begitu drastik. Habibah sendiri hampir tidak mengenali dirinya. Cantik juga aku, pujinya pada diri sendiri. Ibu Salbiah kalau nampak mesti terteleng juga kepala orang tua itu. Habibah tersenyum sendirian.

“Amboi, pandang wajah sendiri dan tersenyum!” Usik Maya. Habibah tersipu-sipu malu. Ketawa Maya terus meledak, wajah Habibah kian merona merah. 

“Maya… I rasa kekoklah!” Habibah mengutarakan kebimbangan ketika stiletto lima inci disarungkan di kakinya, badannya terasa di awangan dan tidak seimbang. Selama ini dia lebih gemar berkasut flat atau memakai kasut tinggi dua inci. 

You’ll be fine darling!” Ujar Maya sambil membetulkan baju Habibah.

“So… are you ready?”

Habibah melepaskan keluhan berat. Maya memberikan senyuman manisnya, dia faham kenapa wanita itu agak termalu-malu dan berdebar-debar.

“Bibah… are you ready meeting him?”

Habibah mengangguk perlahan. Kalaulah dia mempunyai kuasa sakti, perkara yang ingin dia lakukan pada saat ini ialah menghentikan kitaran dunia, biar semua membatu, biar semuanya terhenti. Tapi…
Habibah mengatur langkahnya tertib, di sebalik pintu itu dia tahu, Qassif Daniel tengah menantinya bersiap, seharian lelaki itu di rumahnya hari ini. Mungkin lelaki itu juga risau dan berdebar untuk membawa balik menantu balik ke rumah. Habibah mengeluh lagi. “Aku hanya seorang isteri kontrak, keluarganya entah tahu entahkan tidak,” bisik hati kecilnya, entah mengapa secara tiba-tiba, sejalur rasa sayu mencuri timbul di sudut hatinya, membuatkan kolam matanya terasa panas. Habibah memejamkan matanya ketika Maya menghulurkan tangan untuk memusing dan menarik tombol pintu bilik.

*****

Qassif Daniel memang seorang lelaki yang sangat ego. Dia dikenali sebagai Mr Prim and Proper semenjak kecil lagi di kalangan keluarganya. Dia seorang yang sangat teratur dan hidupnya penuh dengan jadual, datang sentiasa tepat pada masanya dan pakaiannya sentiasa kemas dan bersih. Itulah dia Qassif Daniel yang dikenali oleh keluarga, saudara mara dan sahabat terdekatnya. Dia telah menjalin hubungan cinta dengan Sophia Ezara, satu-satunya anak perempuan Tan Sri Adnan Hisham, seorang tokoh korporat yang disegani ramai. Hubungan mereka terjalin semenjak mereka di bangku sekolah lagi, hubungan yang mendapat restu seisi keluarga, bahkan diketahui umum dikalangan rakan-rakan korporat di kedua belah keluarga, namun tiada siapa mengetahui kenapa pasangan sejoli itu tidak pernah membincangkan hal perkahwinan mereka, sehinggalah Qassif Daniel memaklumkan kepada orang tuanya, Datuk Mansor dan Datin Zubaidah, akan pernikahannya dengan gadis yang tidak pernah mereka temui. Seperti yang diduga, berita itu bagaikan halilitar. Apa yang lebih membingungkan, Sophia Ezara sendiri memberikan persetujuannya untuk teman lelakinya itu bernikah.

Dan malam inilah, keluarga Qassif Daniel akan bersua muka buat kali pertamanya dengan menantu misteri mereka. Qassif Daniel telah menceritakan sedikit sebanyak mengenai Habibah kepada mereka namun belum bersedia untuk membawa Habibah bersemuka dengan mereka, sehinggalah pada malam ini, iaitu pada malam ulangtahun perkahwinan Datuk Mansur dan Datin Zubaidah yang ke tiga puluh dua. Entah mengapa, di dada Qassif Daniel turut mengalunkan debaran hebat.

*****

Pintu terkuak dan Qassif Daniel menghentikan bacaaannya pada suratkhabar The Star. Berdiri disitu seorang wanita dengan gaun malam panjang hingga ke kaki, rambutnya yang disanggul kemas memperlihatkan leher yang jinjang dan mulus, kulit Habibah yang kuning langsat terselah di sebalik gaun malamnya, wajah wanita itu tampak tenang namun agak takut-takut. Qassif Daniel terpegun seketika, hati lelaki mana yang tidak terusik dengan kecantikan wanita itu, kecantikan memang subjektif dan itulah dia, Habibah mempunyai daya tarikannya yang tersendiri, hati Qassif Daniel mengakuinya di dalam diam.

“Puas hati tak?” Maya bersuara memecah keheningan.

Serta merta Qassif Daniel beralih ke dunia asalnya, dia hanya tersenyum dan mengangguk.

“Well done Maya!” Puji Qassif Daniel. Maya memimpin tangan Habibah yang masih kekok dengan stilettonya, dan meletakkan tangan Habibah di dalam genggaman Qassif Daniel.

“Good luck guys!” 

“Terima kasih Maya…” Lunak suara Habibah kembali menggetarkan hati Qassif Daniel.

“Dah pergi cepat, nanti I kunci pintu, I masih nak kemas barang-barang I.” Maya tersenyum nakal sambil menolak pasangan itu ke muka pintu, Qassif Daniel yang masih lagi mengenggam jari jemari Habibah hanya menurut.

Qassif Daniel memimpin Habibah ke kereta, dia tahu isterinya kekok, dalam hatinya dia berdoa agar wanita itu tidak akan terjelepuk dengan stilettonya.

Dalam diam, Habibah turut mendoakan perkara yang sama. Dia telah merancang untuk mencari tempat yang sesuai dan duduk di sepanjang majlis nanti, dia lagi sanggup untuk tidak bersosial daripada berjalan ke sana ke mari dengan kasut tinggi itu. Lagipun, dia hanya isteri kontrak, tidak perlu untuk dia bergaul mesra, dia takut lukanya nanti akan lagi dalam.

Suasana di dalam kereta sangat sunyi. Qassif Daniel memandu dengan kelajuan yang sederhana, dan Habibah juga tidak berkata apa-apa. Masing-masing mempunyai debaran yang tersendiri, Habibah akur dirinya bukanlah pilihan tepat buat Qassif Daniel, namun lelaki itu telah memintanya untuk menjadi yang terbaik pada majlis ulang tahun orang tuanya pada malam itu. Seharian Qassif Daniel berada di kondominium mereka pada hari itu untuk memastikan segala urusan berjalan lancar.

Kasih, kenanganku
Ingatkah saat saat dulu
Kasih, apakah dirimu
Merasakan semua itu

Ke mana pun langkahku pergi
Ku masih melihat bayanganmu cintaku
Dan kemana pun arah anginku berlari
Hati ini masih kau miliki

Lelaki ini yang selalu mencintamu
Selalu, tanpa ragu
Lelaki ini yang selalu memuja
Hanya dirimu
Yang bertakhta dalam sanubariku
Sanubari ku
Aku yang mencintakan mu
Hanya dirimu…

Karena cintaku, tak berbatas waktu
Karena cintaku, tak mengenal jenuh hatimu
Hatimu…

Lunak suara Anuar Zain mengalunkan lagu Lelaki Ini, dan Hamidah kembali menghanyutkan diri ke laut lamunan.

[BERSAMBUNG]


10 comments:

  1. Thank u 4 the n3! Rasa nervous pulak bila Bibah nak jumpa family Qassif. Don't worry Bibah, just be yourself ok...Do continue ye Cik Writer!

    ReplyDelete
  2. jadinye cite ni akan update pd 02.09.2013 ea?
    tak sabo nk tggu next entry..
    cite best, menarik..hehe

    ReplyDelete
  3. Cara penulisan u sangat best! i suka! keep it up. Kalau u publish nvoel u ni, confirm i beli punya :)



    ReplyDelete
    Replies
    1. You made my day Ida :) hopefully ada rezeki to be published ya. :)

      Delete
    2. aminn..insyallah...bgtau i kalau dh publish nanti :)

      Delete
  4. me too... velarie, tak sabar menanti novel ini diterbitkan pasti saya juga akan membelinye

    ReplyDelete