Thursday, October 24, 2013

Isteri Kontrak :: Bab 10

OK.
Setiap hari jumaat ialah hari menerbitkan siri bab novel Isteri Kontrak.
Sekiranya ada kelapangan, bab tambahan akan diterbitkan pada hari-hari lain sebagai bonus.
Tetapi jumaat ialah hari wajib untuk di'post'kan.
Terima kasih di atas sokongan anda yang sangat memberangsangkan :)
SELAMAT MEMBACA!
______________________________________________________

“Daniel, kenapa Daniel buat mommy macam ni?”

“Daniel tak buat apa-apa mommy, mommy sendiri tahu kan yang perkahwinan Daniel dengan Bibah hanya di atas kertas, Daniel tak mengharap apa-apa dari dia pun!” Suara Qassif Daniel kedengaran agak tinggi, mungkin agak bengang dengan herdikan Datin Zubaidah.

“Daniel tak boleh buat macam tu, di dalam Islam tidak ada istilah isteri kontrak tahu tak?” Datin Zubaidah menekan-nekan suaranya.

“Daniel tahu mommy, sebab itu Daniel cuba juga laksanakan tanggungjawab Daniel kepada Habibah, Dabiel tak abaikan dia pun!” Bentak Qassif Daniel. Dia benar-benar tidak berpuas hati dengan Datin Zubaidah. 

“Dengar sini mommy, Daniel sayangkan Zara, Daniel cintakan Zara, dah cukup baik Zara sanggup berkorban perasaannya untuk keluarga kita,” terketar-ketar suara Qassif.

“Zara ada perasaan ke?” Sinis suara Datin Zubaidah.

Mommy, apa yang Habibah bagi mommy makan sampai mommy back up dia habis-habisan ni? Mommy dah lupa ke siapa Sophia Ezara?” Qassif Daniel mencebik seolah-olah mengejek Datin Zubaidah. Mengapa mesti ibunya melupai siapa wanita sehebat Sophia Ezara, bukan mudah untuk sebarang lelaki mendekati anak tunggal tokoh perniagaan yang disegani ramai itu. Mendengar nama Tan Sri Adnan Hisham sahaja sudah cukup menggerunkan ahli perniagaan yang lain. 

“Mommy tak pernah lupa Zara, mommy tak pernah menidakkan kehebatan teman wanita Daniel itu, tapi Daniel telah bernikah dengan Habibah, dan pernikahan itu adalah hubungan yang suci Daniel,” terputus-putus suara Datin Zubaidah. Tangisnya yang ditahan-tahan akhirnya tumpah jua, tersedu-sedan wanita separuh abad itu, Qassif Daniel mulai berasa serba salah. Dia mendekati wanita itu dan memeluknya lembut.

Mommy…” ujarnya.

Mommy please… Daniel perlukan sokongan mommy, kasih sayang mommy demi kebaikan keluarga kita dan keturunan kita juga mommy.”

“Tapi bukan dengan menghancurkan kehidupan orang lain Daniel lagi, apa lagi seorang anak yatim yang patutnya hidup dia kita lindungi,” lirih suara Datin Zubaidah, hatinya sebak mengenangkan Habibah. 

Mommy, percayalah, Habibah tidak menginginkan kasih sayang kita, Habibah hanya mahukan keselesaan hidup untuk keluar dari rumah anak yatim itu.” Pedih sungguh tuduhanmu wahai Qassif Daniel. 

“Daniel akan menyediakan segala-gala untuk dia hidup senang selepas ini, percayalah Habibah tidak akan rugi apa-apa pun dengan perkahwinan ini,” suara  Qassif Daniel terang dan nyata. “Daniel dah berbincang dengan Zara, dalam tahun depan juga kami akan berkahwin, dan sebelum perkahwinan bahagia Daniel nanti, Daniel akan lepaskan Habibah!”

“Daniel tak patut bawa Zara tadi Daniel, mana mommy nak letak muka mommy? Dengan Uncle Sulaiman dan Auntie Mariah, dengan Habibah apatah lagi.” Datin Zubaidah merungut tidak puas hati, sedu sedannya masih bersisa, dia memang sungguh malu tadi.

“Kan Daniel dah bagitahu yang Zara datang secara kebetulan, lagi pula mana Daniel nak sangka ‘surprise’ yang mommy maksudkan siang tadi adalah makan malam keluarga?” Qassif Daniel membela diri tidak ingin terus dipersalahkan, kalau dia tahu yang Habibah ada dan memasak untuk keluarga mereka dan kemudiannya dianggap ‘surprise’, memang dia tidak akan membawa Sophia Ezara balik tadi.

“Daniel, apa kita nak buat dengan Habibah? Daniel langsung tak ada perasaan ke dengan Bibah?” Datin Zubaidah masih dengan esakan, hatinya memang berbelah bahagi dan perasaan simpati yang mendalam terhadap Habibah. 

Qassif Daniel menggeleng. 

Di balik pintu bilik tidur itu, Habibah mengurut dadanya, air matanya sudah lama mengalir dan matanya sudah kabur, pandangannya ditahan-tahan supaya tidak kelam. Sampai hati kau Daniel, aku tahulah siapa diri aku tapi aku bukan mainan yang ikut suka kau kutip, ikut suka kau campakkan!

Aku tahu status aku sebagai anak yatim, tapi aku bukan boneka, aku bukan patung, aku punya kehidupan, aku punya kedudukan di mata masyarakat, aku punya hak! Hatinya terus menjerit. Ingin sahaja dia meluru masuk ke dalam bilik tidur Datin Zubaidah dan menampar wajah lelaki yang menyakitkan hatinya itu, lelaki yang disangkanya akan menyelamatkan dia dari kekecewaan silam, lelaki yang di dalam diam mula dipujanya, namun kini lelaki itu menyisihkan dia lebih daripada segala-galanya, lebih dari status anak yatim yang dipegangnya sejak dia mengenal dunia ini. 

Suara berdehem perlahan menyentakkan dia, apabila dia berpaling, wajah Datuk Mansor merenungnya tajam. Wajah itu seolah-olah berkata, “Puas hati kau? Kau sedar tak kedudukan kau dalam keluarga ini?”  Ah! Bapa dan anak sama sahaja tidak sukakan aku, apa gunanya aku terus berada di sini? Lagi lama aku di sini, lagi banyak goretan di hati, lagi banyak luka yang tercalar.
Habibah mengesat air matanya laju, tanpa berkata sepatah pun, dia mengatur langkah balik ke bilik tidur yang dikhaskan untuknya.

*****

Fiza,

Aku tak bahagia. Aku tidak dijanjikan pelangi tapi aku tidak pernah putus harap akan kemunculan pelangi. Mungkin aku telah tersilap langkah, mungkin kerana keegoanku semata-mata? Qassif Daniel menikahi aku bukan kerana dia cintakan aku, tapi untuk memenuhi tuntutan keluarganya demi menyelamatkan maruah keluarga mereka. Aku tidak tahu apa kisahnya, tapi aku memang tidak bahagia.

Bibah.

Habibah mengklik butang ‘send’ dan berharap email itu akan segera menembusi rangkaian siber alam maya yang tidak bersempadan dan sampai kepada Fiza dengan secepat mungkin. Air matanya tumpah lagi.

*****

Habibah telah kembali ke rumah yang dibeli oleh Qassif Daniel, dia kembali menjadi penghuni kepada kondominium yang sunyi sepi itu. Tapi tempat itu dirasakan lebih baik daripada rumah agam Datuk Mansor. Di sini dia boleh memperoleh ruangnya sendiri, lantak aku nak menangis ke, nak menjerit ke, ada ke orang di dunia ini yang kisah? Hatinya tidak tenteram semenjak terdengar perbualan di antara suaminya dengan ibu mertuanya. Tidak disangkanya niat untuk meneguk segelas air di dapur akan berakhir dengan tumpahan air mata yang lebih banyak dari segelas air yang diteguknya.

Dia terbayangkan wajah kacak Qassif Daniel, yang selama ini begitu tenang dan bersahaja, namun pada malam itu Qassif Daniel benar-benar mempertahankan egonya di hadapan Datin Zubaidah, Habibah mengakui di dalam diam, memang tiada tempat untuknya di hati lelaki itu, lelaki itu hanya mempergunakan dia untuk menyelamatkan maruah keluarga. 

Ingatannya singgah pada wajah Datin Zubaidah, walaupun berusia hampir lima puluh lima tahun namun wanita itu nampak hebat, air mukanya bersih dan lembut, hatinya juga baik dan tidak dinafikan Datin Zubaidah ada seorang ibu dan ibu mertua yang penyayang, rindunya terbit pada wanita itu tiba-tiba.

Sempat pula mindanya menerawang pada seraut wajah yang tidak pernah disenanginya, Datuk Mansor. Lelaki yang berumur hampir enam puluh tahun yang suka berdehem itu. Berat sangatkah hendak menyebut nama aku? Asyik-asyik apabila berjumpa akan berdehem, banyak sangat benda agaknya tersangkut ditekak setiap kali jumpa aku asyik nak berdehem, tiba-tiba hatinya dicuit rasa lucu dan Habibah ketawa sendirian.

Sophia Ezara.

Akhirnya aku diberi juga kesempatan bertemu dengan kekasih hati suami aku. Memanglah kalau dibandingkan dengan aku, umpama enggang dengan pipit, umpama langit dengan bumi, antara batu dengan permata. 

Wanita itu teramat cantik, rambut ikalnya yang hampir mencecah ke pinggang sangat padan dengan tubuhnya yang tinggi lampai. Sophia Ezara bermata galak dan pandangannya tajam bagaikan pandangan mata helang. Dia masih ingat lagi renungan tajam wanita itu ketika dia menyuap makanan di meja makan. Wanita itu memang sepadan dengan Qassif Daniel yang kacak, tapi kenapa lelaki itu hendak juga berkahwin dengan aku? Dia sendiri tidak menemui jawabannya, namun satu yang pasti bukan itu wanita yang hadir di dalam mimpinya tempoh hari, siapa pula wanita di dalam mimpinya? Habibah menepuk dahinya sendiri, menyedari kebodohan yang asyik mengelamun. Nama pun mimpi.
Habibah mula rasa mengantuk. Dia merebahkan diri di tilam empuk dan memejamkan matanya rapat. Dia ingin merehatkan mindanya yang berkecamuk sejak kejadian malam semalam.

*****

Salam Bibah,

Bibah apa khabar? Abang harap Bibah baik-baik saja di sana. Abang risaukan Bibah, abang harap Bibah tidak ambil kisah dengan kehadiran Sophia malam tu, kan Daniel sendiri dah cakap yang Sophia saja datang berkunjung. Abang harap Bibah benar-benar baik di sana, oh ya abang dah gunakan semula nombor telefon yang lama, Bibah boleh telefon kalau nak bercakap dengan abang.

Rayyan.

Aik? Apa pasal pula dengan mamat ni? 

Serta-merta jantung Habibah bergetar, dia membuka email untuk melihat sama ada Fiza telah membalas emailnya, namun Rayyan yang menghantarkan email kepadanya pula. Habibah memicit-micit kepalanya yang tidak sakit, namun sarat dengan seribu satu persoalan. Serta-merta email daripada Rayyan itu dipadamkannya. 

“Rayyan?” Habibah nyaris terjatuh dari kerusinya apabila mendengar suara itu. Ditolehnya ke belakang dan wajah Qassif Daniel ada di sana, terang dan nyata, tiada cacat cela. Suaminya terpacak di belakang.

“Bila awak sampai?” Automatik soalan itu keluar dari bibir Habibah.

“Baru juga, kan saya pun ada pegang kunci rumah,” jawab Qasiff Daniel acuh tak acuh.

“Siapa Rayyan?” 

Habibah mendiamkan diri, di dalam otaknya ligat mencari jawaban yang sesuai. Mamat yang seorang ini pun tiada kurang hebatnya, aku rasa sembilan puluh peratus keserabutan yang kusut masai di kepala aku memang berpunca dari kau, bisik hati Habibah.

“Kenapa diam?”

Habibah mendongak dan memandang tepat ke wajah Qassif Daniel. “Rayyan tu senior saya kat univeristi dulu, dia dah kahwin dah pun, kami memang rapat,” terangnya jujur.

“Saya kenal ke?”

Soalan ujian apakah ini? Habibah serba salah.

“Awak nak minum?” Pantas Habibah cuba menukar topik. Qassif Daniel mengangguk, Habibah berasa lega dan terus menghilangkan diri ke dapur. 

Dia muncul semula dengan segelas air oren sunquick. Matanya melilau mencari Qassif Daniel dan lelaki itu telah duduk di sofa merah di ruang tamu. Habibah mendekati suaminya dan memberikan gelas itu kepadanya, Qassif Daniel memandang wajah isterinya dan menyambut gelas kaca itu, dihirupnya sekali dan diletakkan di atas meja kayu empat segi di hadapannya. Dia menyandarkan diri ke sofa semula. 

Habibah dapat merasakan yang hatinya sebal, hatinya dingin. Pengharapan demi pengharapan dibunuhnya satu persatu kerana dia tahu, satu hari nanti, lelaki itu memang akan meninggalkannya, dia perlu bersedia untuk menghadapi saat itu, bukan pada masa itu tapi persiapan perlu dibuat dari sekarang.

Habibah hendak mengorak langkah ke meja makan semula untuk mendapatkan computer ribanya ketika Qassif Daniel bersuara, “Awak belum jawab soalan saya!” Langkah Habibah terhenti.

Suasana hening namun cukup untuk menyesakkan nafas Habibah. Perasaan serba salahnya turut hilang namun dia masih belum cukup hilang akal untuk melibatkan Rayyan dalam permasalahan mereka, email Rayyan hanya secara kebetulan. 

“Macam yang saya cakap tadi, dia hanyalah senior saya semasa di universiti dulu.”
“Saya kenal ke?” Qassif Daniel telah bediri dan berhadapan dengan Habibah. Habibah menundukkan kepalanya.

“Puan Habibah binti Darus, saya kenal ke siapa Rayyan tu?” 

Sedar pula status aku sebagai isteri dia, bisik hati Habibah.

“Saya tak tahu, mungkin awak kenal, mungkin juga tidak. Saya tak pernah pula kenalkan Rayyan pada awak sebelum ni,” jawaban yang cukup baik bagi Habibah, dia benar-benar tidak mahu Rayyan terlibat. 

Qassif Daniel memandang tepat wajah Habibah dengan perasaan yang tidak puas hati, dia tahu Habibah tidak senang dengan kehadiran mendadak Sophia Ezara pada malam itu, walaupun Habibah nampak tenang, namun wanita itu juga ada hak sebagai isteri Qassif Daniel, malahan Habibah lebih berhak ke atas dirinya berbanding Sophia Ezara.

“Awak,” Qassif Daniel memegang kedua bahu Habibah, Habibah hanya memandang sepi, tiada debaran seperti biasa.

“Awak kena berhati-hati dengan semua orang, tak kira siapa sahaja, awak jangan biar diri awak dipergunakan.”

Saat itu mata Habibah buntang memandang Qassif Daniel. Habibah melepaskan satu keluhan berat.

“Awak, saya tahu siapa diri saya, seorang isteri yang tiba-tiba menjadi jutawan setelah berkahwin dan saya tahu status saya sebagai isteri awak, tapi awak jangan risau, saya tidak akan merosakkan segala rancangan awak atau menghalang awak untuk bersama dengan sesiapa sahaja yang awak suka, cuma satu permintaan saya…” Habibah menarik nafas dalam-dalam. Oh Tuhan! Berikanlah aku kekuatan itu.

“Apa?” 

“Kalau boleh, awak tak perlu tunjukkan sangat yang awak ambil berat pada saya, kerana saya tak biasa dan… dan…” nafas Habibah mula tersekat-sekat.

“Dan?”

“Dan saya tak nak satu hari nanti bila awak benar-benar tingalkan saya… saya akan keberatan!” Serta-merta wajah Habibah merona merah, tapi sekurang-kurangnya, hatinya ringan dan kepalanya turut tidak menyimpan bebanan yang berat.

Habibah menolak lembut tangan Qassif Daniel dan melangkah ke meja makan untuk meneruskan niatnya hendak bersembang dengan Fiza sekiranya teman baiknya itu turut online.  Qassif Daniel masih berdiri di sana sambil memerhatikan Habibah, dia benar-benar terkesima.

 [BERSAMBUNG]


19 comments:

  1. Thank u 4 the new n3! Kesian la kat Bibah.....but I believe Bibah is strong enough to face all this heart matters. Tapi, En. Qassif Daniel tu betul ke x de perasaan langsung kat Bibah? Tanya pasal Rayyan pun mcm lain bunyinya.....dah mula jealous ke...Do continue with next chap. ye!

    ReplyDelete
  2. Tak sabarnya, harap-harap ada bonus day. Cepat dapat new entry.

    ReplyDelete
  3. ala xpuas lg bce bab 10 la.. uwwaaaaa..:(

    ReplyDelete
  4. thks 3x......eager for chapter 11....hope it will be soon enough....hehehehe

    ReplyDelete
  5. Bagus Bibah, akhirnya mampu buat Daniel tahu yang Bibah takkan terhegeh-hegeh kalau Daniel pun tak mahu padanya. Apalah rahsia Daniel nikah dengan Bibah bukannya Zara.

    ReplyDelete
  6. LA NAK LAGI
    SAYA SUKA HABIBAH MACAM TU JANGAN LEMAH SANGAT.

    ReplyDelete
  7. Chaiyok2 bibah....buktikan pada daniel n rayyan.....ank yatim piatu ni ada hati n perasaan...bukan boneka yg blh dipermainkan...bibah kena fikir ttg diri sendiri lepas ni...nk harap kasih syg daniel belum tentu bila dpt...bibah kena usaha utk cari kebahagiaan dia...pedulikan daniel n rayyan....hahahahaha....gelak jahat sbb sakit hati dgn daniel n rayyan...

    ReplyDelete
  8. yess agreee wit Zuriah di atas..x sabar mau baca next chapter...harap2x adalah bonus yaaa for this week dear Velarie..plzzzzzz....

    ReplyDelete
  9. terima kasih semua, nantikan soalan bonus bab 12 okey :)

    ReplyDelete