Monday, November 18, 2013

Isteri Kontrak :: Bab 13

Buat pembaca yang budiman,
terima kasih di atas kesetiaan kalian yang tidak pernah luntur dengan novel yang tidak seberapa ini, minta maaf kerana 'kehilangan' kisah asal bab 13 dan saya perlu menulis kembali kisahnya buat tatapan kamu sekalian. Ramai juga yang menghantar email bertanyakan khabar, saya sihat :) Charm Charm pun sihat, cuma hujung minggu memang saya gunakan sepenuhnya untuk meluangkan masa bersamanya, itu antara punca kenapa saya tidak dapat menulis di hujung minggu :) Diharap kalian akan berpuas hati dengan bab 13 ini ya :)

Happy reading :)

___________________________________




Hubungannya dengan Sophia Ezara bermula semenjak lima belas tahun yang lepas. Dia mengenali gadis itu ketika menuntut di Sri Kemboja, sebuah sekolah menengah swasta elit yang terletak di Damansara. Sekolah itu biasanya dihadiri oleh anak-anak ahli perniagaan seperti dirinya dan Sophia Ezara. Pada masa itu, Sophia Ezara berada di tingkatan satu dan dia di tingkatan tiga. Perkenalan mereka berputik apabila Qassif Daniel dengan tidak sengajanya menjatuhkan chocolate moist cake dan tidak sengaja mengenai skirt pakaian seragam sekolah Sophia Ezara. Dari detik itu mereka menjadi kawan dan percintaan berputik apabila Qassif Daniel bertolak ke Imperial College London untuk melanjutkan pelajarannya. Qassif Daniel memang tidak ramai kawan perempuan dan Sophia Ezara adalah antara yang paling rapat dengannya. Sophia Ezara menyusul Qassif Daniel di London empat tahun kemudian apabila dia melanjutkan pelajaran di London School of Economic.
 
Kematangan Sophia Ezara di dalam bidang perniagaan dan seleranya yang tinggi pada kehidupan elit merupakan antara pakej yang dikagumi oleh Qassif Daniel, Sophia Ezara memakai barangan jenama untuk mencerminkan imej dirinya, dalam erti kata lain, wanita itu tidak mengamalkan kehidupan yang sederhana. Selera fesyennya sangat tinggi, tempat makannya juga esklusif, tapi itu juga pakej yang dicari oleh Qassif Daniel, sebab dia juga mempunyai selera yang minat yang sama, dan mereka tidak mempunyai masalah di sana, perbualan di antara mereka sentiasa seiring, bagi Qassif Daniel, Sophia Ezara adalah wanita moden yang melengkapi kehidupannya dan dia sentiasa bangga berada di samping wanita hebat itu. 

Minatnya tidak pernah melekat pada wanita yang berpenampilan sederhana dan tidak banyak bercakap, perempuan yang suka memendam perasaan dan perempuan yang pandai berlagak hanya semata-mata untuk mengambil hati mommy. Perempuan seperti itu hanya akan mempersia-siakan hidupnya sendiri dengan mengharapkan cinta Qassif Daniel. 

Cintaku hanya pada Sophia Ezara, bentak hatinya.

Tiba-tiba jantungnya seperti dihempap, pedih dan ngilu serta menyesakkan nafas. Dimatanya terbayang wajah Habibah, dia cuba membuangnya dan cuba menjemput wajah Sophia Ezara yang dikasihinya, namun wajah lembut penuh sopan Habibah juga yang singgah.

Qassif Daniel menumbuk meja dengan sekuat hati.


*****

Fiza,
Aku tak dapat kerja kat Waja Holdings. Sebab dorang dah batalkan kontrak perjanjian untuk aku berkhidmat dengan mereka. Aku dah dapat agak kerja ni siapa yang buat sebenarnya tapi tak apalah, mungkin bukan rezeki aku lagi agaknya, aku akan cuba juga cari kerja sebab aku dah bosan duduk kat rumah.

Aku nak bagitahu engkau, Rayyan ada email aku, semalam dia telefon aku pula, aku dah cuak ni, dia nak apa hah? Dia tu rupanya sepupu suami aku, aku ada jumpa dia dua kali kat rumah keluarga mertua aku. Dia dah kahwin.

Bibah

Habibah masih berbaring-baring di katilnya, letih rasa badannya selepas seharian mengemas rumah dan membasuh semua bilik air di unit kondominium itu. Ada baiknya dia menghalang Qassif Daniel dari menggaji orang gaji, sekurang-kurangnya dia boleh mengisi masanya dengan melakukan kerja-kerja orang gaji juga, bukannya dia tidak biasa pun.

Habibah tidak masak hari ini. Dia bercadang untuk keluar makan sahaja sebentar nanti. Asyik terperuk di rumah memang membuatkan fikirannya buntu. Mujur ada komputer riba yang dibelikan oleh Qassif Daniel, mungkin kerana lelaki itu kasihan melihatnya asyik ke kafe siber semata-mata hendak membaca email Fiza.

Loceng pintu berbunyi bertalu-talu, Habibah segera bangkit dari perbaringannya, malas dan letih namun dia tetap menggagahkan diri. Dari lubang pintu dia melihat untuk memastikan dia mengenali orang yang membunyikan loceng, Qassif Daniel? Bukankah dia ada kunci?

Habibah membuka juga daun pintu dan gril, Qassif Daniel masuk tanpa berkata sepatah pun. Habibah menghulurkan tangannya dengan selamba, Qassif Daniel tergamam, namun dihulurkan juga tangan kanannya, Habibah menyambut dan menciumnya, tanpa berkata apa-apa.

Habibah menutup pintu dan terus menuju ke dapur, seperti biasa, segelas air oren sunquick. Dihunjukkan kepada suami yang dipuja dalam diam seperti biasa.

“Asyik-asyik air ni saja, air lain tak ada ke?”

“Saya minta maaf Encik Daniel, tapi jika ada sebarang permintaan boleh tak minta baik-baik?” Qassif Daniel terkejut dengan jawaban selamba yang terbit dari bibir Habibah.

“Apa awak kata?”

“Maksud saya, kalau ada apa-apa yang Encik Daniel perlukan, sila nyatakan dengan jelas, saya ini manusia biasa, saya tidak boleh membaca minda Encik Daniel!”

“Awak ni kenapa? Tiba-tiba saja berubah?” Menyedari sikap Habibah yang berubah secara tiba-tiba, Qassif Daniel berasa tidak puas hati.

Habibah terdiam. Cemburukah aku pada Sophia Ezara? Atau marahkah aku kerana tidak mendapat kerja di Syarikat Waja Holdings, syarikat milik keluarga suami aku? Atau aku tidak berpuas hati kerana bakal diceraikan oleh Qassif Daniel tahun depan memandangkan dia akan mendirikan rumah tangga dengan wanita yang dicintainya?

“Saya minta maaf…” ucap Habibah akhirnya, sikapnya memang agak melampau sebentar tadi.

Qassif Daniel duduk semula di sofa bewarna merah hati itu. Perubahan diri Habibah menerbitkan sedikit kegusaran di benaknya.

“Saya ke Waja Holdings siang tadi!” Habibah menarik nafas dalam-dalam.

“Pihak biasiswa ada maklumkan pada saya. Kenapa awak datang?” Qassif Daniel terbayangkan wajah Puan Suraya Hanim, Ketua Bahagian Biasiswa di Syarikat Waja Holdings.

“Saya cuma ingin membayar balik jasa baik syarikat,” Habibah berdoa di dalam hati agar Qassif Daniel dapat membantunya mendapatkan pekerjaan di syarikat milik keluarganya itu.

“Awak tak perlu berkhidmat di syarikat itu!”

“Tapi kenapa?”

“Pihak syarikat maklum yang awak tu isteri saya, jadi secara otomatik kontrak awak telah digugurkan?”

“Kontrak?” Ujar Habibah sinis.

Qassif Daniel merenung tajam wajah Habibah, akhirnya Habibah menundukkan kepalanya, mengalah pada renungan tajamnya.

Qassif Daniel sedikit lega, sekurang-kurangnya dia tahu perubahan Habibah tentu kerana kecewa dengan keputusan pihak pengurusan Syarikat Waja Holdings.

“Awak nak minum air apa-apa tak?” Walaupun perkahwinan kami satu perjanjian, dia masih suami aku, bisik hati Habibah.

“Saya nak nescafe yang macam awak buat pertama kali dulu, nescafe tu sedap,” entah mengapa Habibah merasa hatinya disentuh dengan pujian Qassif Daniel. Dia sedar, secara diam-diam dia telah mencintai lelaki itu, perkara yang paling ditakutinya. Namun mengertikah lelaki itu akan perasaannya? Tidak ada setitik kasihkah lelaki itu tumpah padanya?

Secawan nescafe panas telah diletakkan di depan lelaki itu, dilihatnya Qassif Daniel tersandar dengan mata yang dikatup rapat. Dengan penuh kasih, Habibah bergerak ke belakang sofa dan menyentuh lembut kepala Qassif Daniel, kepala suaminya dipicit-picit lembut, perasaan serba salah terus menular di dalam dirinya. Qassif Daniel terjaga dari lelapnya, tanpa diduga, tangannya mencapai lembut jari jemari Habibah, mengelusnya lembut, dan menarik Habibah perlahan rapat dengannya, Habibah merebahkan diri di sebelah lelaki itu, tangan Qassif Daniel merangkul pinggangnya, di dalam debaran yang menggasak hebat, Habibah merebahkan kepalanya di bahu Qassif Daniel, terasa nyaman dan selamat di dalam rangkulan lelaki itu, Habibah sedar selaut kasih dan bahagia sedang melimpahi hatinya, sendu dan indah, air mata wanitanya tumpah jua dan antara sedar dengan tidak, dia mendepakan tangan dan memeluk erat  Qassif Daniel.

Habibah, percayakah engkau kalau aku katakan, bahawa engkau juga wanita hebat yang punya daya tarikan yang tersendiri, aku tidak dapat menipu diri aku yang aku bertuah menikahi engkau, aku mengenali engkau telah lama cuma engkau tidak tahu, biarlah ia terus menjadi misteri buat masa ini. Seandainya jodoh kita ditakdirkan tidak panjang, aku berdoa agar engkau akan menemui kebahagiaan engkau yang sebenar, aku minta maaf sekiranya mahligai bahagia yang kau dambakan, aku tidak mampu untuk membinanya untukmu.

Qassif Daniel, tidak bolehkah kontrak itu dimansuhkan? Tahukah engkau jauh disudut hati aku, aku benar-benar ingin menjadi suri di dalam hidupmu, aku ingin membina keluarga yang bahagia dan aku tidak akan meminta apa-apa selain hatimu itu, aku memilih untuk bernikah denganmu untuk kebahagiaan yang aku dambakan, meskipun aku terpaksa bermadu dengan Sophia Ezara, aku rela dan aku redha.

Aku tidak tahu apa telah aku lakukan Habibah, semuanya terjadi dengan sekelip mata, aku memang ego dan mungkin juga sedikit tamak, maruah keluarga perlu aku selamatkan, permintaan Sophia Ezara juga perlu aku utamakan dan aku perlu beri dia masa selama dia mahu sehingga dia bersedia untuk bergelar isteriku, namun pada masa yang sama, aku tahu aku akan menyeksa engkau, aku minta maaf banyak-banyak Habibah, andainya kesilapan aku ini boleh ditebus dengan tidak melibatkan mainan perasaan, aku pasti akan memilih cara itu. Tapi aku tidak punya pilihan.

Qassif Daniel, sejarah hidup aku memang pahit, namun aku tidak ingin kepahitan terus berkunjung tiba, aku merayu pada hatimu saat ini, bukalah sedikit ruang untuk hati aku, aku mungkin tidak sempurna, aku mungkin tidak miliki harta kekayaan, aku mungkin tidak punya wajah yang cantik, aku mungkin tidak punya kepintaran seperti dia, aku mungkin jauh jika dibandingkan dia, tapi percayalah, hati aku tulus untuk mengasihi engkau.

Dingin penghawa dingin boleh kedengaran, suasana sungguh sunyi dan andaikan sebatang jarum jatuh ke lantai, dentingannya pasti kedengaran di telinga pasangan suami isteri itu. Rangkulan Qassif Daniel makin erat, pelukan Habibah juga makin melekat, mata masing-masing terus dikatupkan. Biarlah kegelapan menemani getaran jiwa masing-masing. Bau aroma nescafe menusuk tajam hidung Qassif Daniel, namun entah mengapa, pelukan Habibah lebih memberikan ketenangan kepada kemelut di jiwanya.


[BERSAMBUNG]

11 comments:

  1. val, saya baru nak feeling tau awak dah cut it short.....so pls sambung cepat ok....hahahahaha...

    ReplyDelete
  2. Saya pasti lambat laun ego Qassif akan lebur di tangan Habibah. Harap Habibah tetap tabah dan sentiasa memohon kepadaNya untuk pertahankan pernikahan mereka ini.

    ReplyDelete
  3. nak lagi...best....next n3. Please!!!!

    ReplyDelete
  4. =D Thank you all for the supports and comments:)
    Ada lagi yg lebih hangat nanti :)

    ReplyDelete
  5. dear..baik u terbitkan jadi novel..sure i pi beli..

    ReplyDelete
  6. best cepatlah sambung n3 baru.

    ReplyDelete
  7. omg qassif cakap dia kenal bibah dah lama???! omg, apakah maksudnya?

    ReplyDelete