Thursday, February 6, 2014

Isteri Kontrak :: Bab 23

 Salam Muhibbah wahai pembaca alam maya.

Saya sangat gembira dan lega dengan komen-komen yang diberikan oleh pembaca pada luahan 'maafkan daku' tempoh hari, saya lega dengan penerimaan kamu, dan terharu pun ada juga, dan penerimaan itu memberikan saya inspirasi untuk 'terus melangkah' dan tidak perlu gentar, selagi ada sokongan dari kamu semua, saya akan melakukan apa yang perlu saya lakukan.

Saya akan mengembalikan entry mode on Friday, saya minta maaf kerana menghampakan anda sekalian kerana tidak menepati janji sebelum ini :)

Enjoy your reading... and please put down your comment untuk penambahbaikan.

God bless ya people!

_________________________________




“I suka yang ini, you suka tak?” Sophia Ezara yang sejak dari tadi sibuk membelek katalog menunjuk pada satu rekaan yang menarik perhatiannya. Qassif Daniel yang duduk berada disampingnya sekadar mengangguk dan memberi pandangan kosong. Sophia Ezara mengeluh namun dia tidak ingin menunjukkan ketidakpuasan hatinya pada Johan Melvin, yang asyik menulis di buku notanya dan duduk berhadapan dengan pasangan itu.

“Rekaan ini masih belum digunakan oleh sesiapa, rekaan ini masih baru lagi,” Johan Melvin, pereka fesyen dan pemilik butik gembira dengan pilihan Sophia Ezara, wanita itu mempunyai citarasa fesyen yang sangat tinggi dan kerap kali meminta Johan Melvin untuk mereka pakaiannya pada majlis-majlis khas syarikat keluarganya.

“Erm, rekaannya nampak klasik tapi I suka, nampak anggun dan ada kelas,” pujian Sophia Ezara meleretkan senyum panjang di bibir Johan Melvin.

“Apa tema warna your wedding ni?” 

Gold peach!” Ujar Sophia Ezara dengan yakin.

Johan Melvin menganggukkan kepalanya, dia sentiasa yakin dengan pilihan wanita sehebat Sophia Ezara, dia bijak di dalam memadankan busananya dan penampilannya memang sentiasa mengikut perkembangan fesyen terkini. 

“Okey, yang ini you pilih untuk majlis akad nikah kan?” Soal Johan Melvin sambil sibuk mencatat sesuatu di buku notanya.

“Iya, nanti I nak you buat lengan dia macam design yang ini,” pinta Sophia Ezara sambil menunjuk pada satu rekaan yang lain. Johan Melvin sekadar mengangguk sambil terus mencatat dan melakar di buku notanya. 

“Eh design yang ini, nampak lebih menarik!” Sophia Ezara meletakkan katalog di atas meja sambil mengamit perhatian Johan Melvin.

“Oh yang ini, dah ada orang pakai design ni, dia pun dah nak kahwin minggu depan, you tak kisah ke?”

Pantas sahaja Sophia Ezara menggelengkan kepalanya, hari bahagia aku, adalah sangat mustahil untuk aku memakai rekaan sama dengan orang lain, getus hatinya. 

“Kalau macam tu, I nak design yang tadi tu,” Sophia Ezara meneruskan belekannya, sesekali dia berhenti lama merenung pada rekaan-rekaan yang ada di dalam katalog itu. Kata putus telah dicapai di antara dirinya dan Qassif Daniel, dia tidak ingin melopong apabila mulai menyedari perubahan diri Qassif Daniel, teman lelakinya itu telah banyak berubah semenjak berkahwin dengan Habibah, perempuan yang padanya tidak seberapa itu. Sebelum kasih sayang Qassif Daniel terhakis sepenuhnya, dia ingin menampal kembali hati lelaki itu dan memenuhkan semula mimpi lelaki itu yang pernah meminta untuk menjadi milih Sophia Ezara selamanya. Sekurang-kurangnya dia berjaya dengan fasa pertama, iaitu untuk memaksa lelaki itu untuk mengahwininya. Sophia Ezara masih ada beberapa fasa perancangan untuk Qassif Daniel dan Habibah. Wahai Habibah, kau tidak layak untuk bersaing dengan aku!

“Okey, kalau baju akad dah settle, jom kita pilih untuk baju resepsi you all pula,” Suara Johan Melvin yang bergema kuat menyentakkan Sophia Ezara.

Qassif Daniel yang duduk disampingnya dikerling, lelaki itu sama sahaja dari tadi, statik dan asyik melamun, entah apa yang difikirkannya macam sangat kronik. Mukanya muka muram dan tiada riak gembira terpancar di wajahnya, semua fesyen pilihan Sophia Ezara hanya dibalas dengan anggukan. Sophia Ezara sengaja tidak mahu menambahkan bebanan di kepala lelaki itu kerana dia tidak mahu Qassif Daniel bertukar fikiran, apa yang penting adalah untuk lelaki itu kekal bersamanya.

Sophia Ezara memandang Johan Melvin yang telah siap dengan beberapa katalog di tangannya, dia mengangguk dan Johan Melvin sekadar tersenyum, gembira mencongak angka yang bakal diperoleh dari hasil pilihan Sophia Ezara ke atas rekaannya.


SUARA riuh Rayyan, Farrah dan Maya sedikit sebanyak berjaya mengubat luka dihatinya.  Ketiga-tiganya datang menemaninya setiap hari selama dia terlantar di hospital. Habibah akhirnya dibenarkan keluar setelah doktor yakin dengan kesihatannya dan bayi di dalam kandungan itu sihat.

Habibah mengusap lembut perutnya yang masih rata. Tapi dia tahu di dasar perutnya itu, satu nyawa telah tercipta, dan nyawa itu bakal dilahirkan di dunia dan memenuhi watak kehidupan yang telah Tuhan ciptakan untuknya. Habibah bersyukur di dalam hati. Bibirnya mengulas senyuman yang penuh makna. Rayyan yang sempat menangkap senyuman Habibah terkesima seketika, ada belas yang bertapak di hati lelakinya untuk wanita yang pernah rapat dengannya suatu ketika dahulu.

Farrah dan Maya telah siap mengemas semua barang-barang milik Habibah. Habibah berkeras untuk mengemasnya sendiri namun kedua mereka yang kini menjadi sahabat baik tidak membenarkan dia menyentuh barang-barangnya. Habibah tidak mempunyai pilihan lain selain daripada menurut kehendak mereka, dia tahu mereka begitu mengambil berat akan dirinya, kerisauan mereka melonjak selepas mengetahui dia sebenarnya mengandung selepas insiden pengsan di kafe tempoh hari.

Rayyan telah dipertanggungjawabkan menguruskan proses pendaftaran keluar dan membayar bil hospital. Sekali lagi Habibah tidak dibenarkan untuk menguruskannya bersendirian. Demi menjaga hati semua orang dan sebagai tanda penghargaannya kepada keprihatinan kepada mereka bertiga, Habibah hanya menurut.

“Laparlah, jom kita pergi makan,” ajak Farrah sambil mengusap-usap perutnya.

“Aik? Orang lain yang mengandung you pula yang melebih-lebih,” usik Rayyan sambil menyumbat barang-barang Habibah di dalam bonet kereta. 

“Eh, apa pula? Pembawakan baby kena pada Auntie Farrah lah, bukan dekat mommy dia,” Farrah tidak ingin mengaku kalah.

“Baiklah, baiklah Puan Farrah, you mengidam nak makan apa?” Maya turut sama mengusik.

“Erm… baby Habibah terasa nak makan… ketam masak sweet and sour!”

Habibah menelan air liur sebaik sahaja Farrah menyebut ketam masa sweet and sour, perutnya seakan berkeroncong dan air liurnya ditelan-telan. 

“Ketam masak sweet and sour…” ucap Habibah perlahan namun boleh ditangkap oleh Rayyan, Farrah dan Maya.

“Betul ke Bibah?” Rayyan memang ikhlas mengambil berat.

Habibah merenung tajam mata Rayyan, terbayang di ruang matanya, isi ketam yang padat dan lembut dengan sos masam manis bersama dengan nasi panas, kecur air liurnya. 

“Di mana nak cari ketam?” Habibah bertanya. Riak mukanya yang membayangkan keenakan ketam mengundang tawa Rayyan, Farrah dan Maya.

“Nanti baby mesti suka mencubit kan?” Maya mengusap perut Habibah.

“Eh apa pula?” Rayyan kehairanan.

“Kan ketam tu bersepit?” Maya memberikan wajah selambanya.

Serentak ketawa pecah lagi.

“Ketam menyepit lah sayang oii, bukannya mencubit,” ujar Farrah dengan tawa yang masih berbaki.

“Habis tu, mana nak cari ketam?” Habibah masih dengan topik ketamnya.

Rayyan memandang wajah Habibah dengan perasaan yang penuh kasihan, dia kasihan pada selera mendadak Habibah gara-gara Farrah yang memang menggemari ketam, dia kasihan pada keadaan Habibah yang mengandung tetapi suami yang tidak langsung mengendahkannya dan dia kasihan pada Habibah yang bakal mempunyai seorang madu, yang menjadi pesaing hebat di dalam kehidupan berumahtangganya.

“Bibah nak makan ketam? Nanti abang carikan ya,” Rayyan menguntum senyuman untuk menenteramkan Habibah.

“Terima kasih bang,” balas Habibah lembut.

Maya menyiku Farrah yang turut asyik merenung Rayyan, apabila Farrah berpaling, air matanya sudah bertakung di tubir mata. Maya turut merasa sentap di hati, keadaan Habibah memang mengundang sejuta perasaan pada mereka bertiga.


“OKEY, semuanya ada empat design kan?” Johan Melvin menunjukkan buku nota yang mempunyai tulisan dan lakaran hasil kerja tangannya. Sophia Ezara memandang dengan penuh tekun dan teliti, setelah berpuas hati dengan pilihannya, dia menyerahkan semula buku nota dan lakaran kepada Johan Melvin.

“Kita dah sibuk pilih design ni, bila majlis kahwin tu?” Johan Melvin bertanya sambil tangannya bersedia untuk mencatat tarikh, dia perlukan tarikh untuk menyiapkan tempahan Sophia Ezara dan Qassif Daniel.

Sophia Ezara memandang Qassif Daniel sekilas, tetapi lelaki itu hanya memberikan pandangan kosong.

You siapkan dulu apa yang sempat, by next month I akan datang tengok. Majlis we all tak decide lagi bila nak buat,” akhirnya Sophia Ezara membuat keputusan sendiri. 

“Berapa budget you, I mean overall budget?”

I tak ada letak budget pun, tapi I nak you buat yang terbaik pada baju-baju kami, kahwin bukan selalu!”

Qassif Daniel menelan air liur, kahwin bukan selalu?

“Okey, kalau macam tu, I siapkan dulu nanti I telefon you, you boleh tengok dulu dan ubah mana-mana yang nak diubah, quotation I akan email kemudian,” ujar Johan Melvin panjang lebar sambil tersenyum simpul. 

Sophia Ezara hanya mengangguk dan sudah pun menyandang tali beg tangannya. Qassif Daniel sekadar tersenyum tawar tanpa berkata apa-apa. Mungkin letih, getus hati Johan Melvin. Tapi rata-rata pelanggannya memang berperangai sedemikian, yang sibuk memilih dan membuat keputusan adalah si wanita, si lelaki hanya sekadar menemani dan juga bertindak sebagai insan dermawan yang bertanggungjawab ke atas tempahan-tempahan yang dibuat.

I hope you like it Daniel,” Sophia Ezara bersuara sebaik sahaja kereta yang yang dipandu Qassif Daniel menyusur keluar dari simpang Desa Hartamas. 

You kan bijak di dalam pemilihan fesyen ni, I serahkan semuanya pada you saja,” balas Qassif Daniel. 

Thank you, sebab percayakan I,” ujar Sophia Ezara sambil tangan kanannya meramas mesra tangan kiri Qassif Daniel. Lelaki itu hanya membiarkan kekasihnya, fikirannya masih menerawang memikirkan isterinya, Habibah. Acapkali apabila bayangan Habibah muncul, pasti Qassif Daniel akan melenyapkannya dan mengharapkan bayangan Sophia Ezara lebih indah, lebih manis, tapi dia masih gagal, akhirnya dia keletihan sendiri. 

So, bila kita nak langsungkan majlis kita? My parents dah tak sabar,” Sophia Ezara cuba mengenakan umpan pada mata kail pancingnya. 

“Kita bincang kemudian boleh tak? Parents I masih terkejut,” balas Qassif Daniel dengan selamba. Kata-kata itu mengundang debar di dada Sophia Ezara.

Kereta mewah BMW 328i bewarna hitam yang dipandu oleh Qassif Daniel terus meluncur laju, Sophia Ezara terus mendiamkan diri sambil sesekali mengerling Qassif Daniel, lelaki itu kelihatan tenang di dalam pemanduannya.


“GILIRAN I pula,” Farrah menyuakan isi ketam ke mulut Habibah, Habibah terus membuka mulutnya luas dan membenamkan isi ketam ke dalam mulutnya. 

“Dah sudah-sudah, tak pasal-pasal Habibah tercekik nanti,” Rayyan yang menjadi penonton setia aktiviti suap-menyuap sejak dari tadi mulai tidak senang, dia bimbangkan Habibah walaupun wanita itu nampak begitu berselera sekali.

Habibah mengelap lelehan sos di bibirnya dengan tisu. Puas sungguh hatinya dapat menikmati ketam masak sos masam manis, mungkin bulan tengah mengambang penuh kerana isi ketam begitu padat dan manis. 

“Sedap?” Soal Rayyan.

Habibah mengangguk laju sambil mulutnya tekun mengunyah. Dia tidak berkata sepatah pun, seleranya sungguh terbuka dengan hidangan makan malam di Restoran Nelayan itu. Rayyan sengaja memilih tempat itu kerana ia terkenal dengan hidangan makanan laut yang segar. Walaupun harganya agak mahal namun nama restoran itu meniti dari bibir ke bibir pencinta makan, nampaknya keputusan Rayyan tidak silap, bakal ibu yang sedang mengandung tujuh minggu nampak sangat berselera dan menikmati hidangannya dengan bersungguh-sungguh.

“Abang tak makan ke?” Habibah merasa pelik kerana sejak tadi Rayyan asyik merenungnya, makanan di pinggannya tidak berapa dijamah.

“Abang bagi Bibah kenyang dulu,” ujar Rayyan sambil ketawa kecil.

“Rugi abang…” Kata Habibah selamba dan meneruskan suapannya. Mulutnya mengunyah laju cebisan-cebisan isi ketam dan mulut itu bagaikan tidak akan pernah penat mengunyah.

Farrah yang beria-ia menyuap menghentikan suapannya.

“Sedap sangat ke Bibah?”

“Sedap!”

Maya yang perasan dengan perubahan riak wajah Farrah turut menghentikan suapannya. Dia merenung Farrah lama, Farrah turut membalas renungannya. Hati keduanya sebak secara tiba-tiba.

Farrah pantas mencapai ketam dan mengeluarkan isinya yang penuh dan lemak manis, diletakkan kesemua isi ke dalam pinggan Habibah, Habibah mendongak kepalanya kehairanan.

“Kenapa? Tak sedap ke?”

“Sedap… sedap!” Jawab Maya sambil membuat perkara yang sama dengan Farrah, habis penuh pinggan Habibah dibuat mereka.

“Habis tu kalau sedap kenapa tak makan?”

Kedua wanita itu hanya tersenyum. Mereka meneruskan proses mencerai-ceraikan isi ketam dengan kulitnya dan meletakkannya di pinggan Habibah.

“Sebab sedap sangat kami nak bagi baby makan, kasihan nanti baby,” tukas Farrah sambil mengenyitkan mata.

“Ohhh…” Mulut Habibah melopong, suapan diteruskan sehingga perutnya tidak dalat menerima lagi. Dia mengangkat tangan menandakan dia telah kenyang. Ketiga-tiga mereka yang lain ketawa.

“Kenyang tak?” Soal Rayyan. Habibah sekadar mengangguk sambil menyedut air tembikainya. Perut diusap lembut. Mesti baby happy kan? Bisiknya lembut.

“Erm lain kali kita pergi Melaka makan ikan bakar nak?” Farrah memberikan cadangan selepas semuanya tersandar kekenyangan.

“Cadangan yang bagus!” Sokong Maya.

“Bagus juga, lama tak ke Melaka.” Rayyan bersetuju.

Habibah terdiam sambil imaginasinya membayangkan kepulan asap dari ikan bakar, kerang bakar, sotong bakar, ketam bakar… air liurnya kecur.

“Wah mesti sedap kan?”

“Apa yang sedapnya?” Ketiga-tiga mereka bertanya serentak.

“Ikan bakar?” Habibah membulatkan matanya. Mulutnya masih menghabiskan kunyahan terakhir.

Rayyan, Farrah dan Maya berpandangan sesama sendiri, selepas itu tawa mereka pecah memenuhi ruang restoran, secara serentak juga.



[BERSAMBUNG]


11 comments:

  1. kesian bibah...bila nak insaf agaknye si qasif nie......

    ReplyDelete
  2. X SABAR MENUNGGU SETIAP JUMAAT. CERITA YANG MENARIK...

    ReplyDelete
  3. Chop..! Farah tak jeles ekkk?
    Baiknya dia...best..best...!

    ReplyDelete
  4. Thanks..... make sure every Friday, or twice a week. Kalau dibukukan lagi suka.

    ReplyDelete
  5. god job ttp menhiburkan terasa apa yg cb d sampikan...

    ReplyDelete
  6. Jadikan Babah seorang yang kuat dan berdikari

    ReplyDelete
  7. best tp please jgn bg rayyan trlebih layan kesian farah huk..huk..

    ReplyDelete