Thursday, February 27, 2014

Isteri Kontrak :: Bab 26

Daripada aku melanggar segala janjiku,
Ada baiknya aku siarkan pada petang hari yang semakin suram ini,
Kerna diriku takkan terdaya menyiarkan pada keesokkan hari,
Lantaran tuntutan kerja seharian esoknya...

Wahai pembaca-pembaca budiman sekalian,
Maafkan daku sekiranya cerita semakin kusam
Mindaku berpusing laju memikirkan kesinambungannya
namun.... apakan daya
jari jemariku tidak larat untuk meneruskan taipannya...

Semoga siri kali ini tidak memboringkan kalian,
kerana kalian begitu berharga bagiku...

_________________________

“DADDY tidak mahu bertengkar dengan Daniel pasal hal ini lagi, Daniel dah cukup matang untuk menilai sendiri perbuatan dan keputusan Daniel.”

Akhirnya, itulah kata-kata dari seorang ayah disangka selama ini menyebelahi dia, tapi rupanya dia silap di dalam menilai ayahnya pada kali ini. Seorang ayah yang membesarkan dia dan mendidik dia sehingga disegani sebagai ahli korporat, mungkin tidak lama lagi bakal menjadi seorang tokoh korporat, sama seperti bapanya, Datuk Mansor.

Qassif Daniel mengeluh, dia mengalihkan pandangan ke arah Datin Zubaidah, yang nampaknya lebih tenang berbanding Datuk Mansor, Datin Zubaidah yang setia duduk di sisi suaminya sejak perbincangan mereka dari tadi.

Mommy pun sama Daniel, tapi bagi mommy, apa yang Daniel buat sekarang ini adalah tidak betul.” Ibu tetap dengan perasaan keibuannya, lembut dan cepat terasa. 

Qassif Daniel mengeluh sekali lagi.

“Betulkah Daniel bersungguh hendak melangsungkan perkahwinan buat kali ke dua?”

Qassif Daniel tersentak sekali lagi dengan pertanyaan Datuk Mansor. Lama dia merenung mata Datuk Mansor dan kepalanya kaku.

“Sungguh?”

Qassif Daniel terdiam lagi.

“Apa sebenarnya yang telah berlaku di antara Daniel dan Bibah?” Datin Zubaidah akhirnya melontarkan persoalan yang selama ini menghuni kepalanya.

Qassif Daniel sekadar menggelengkan kepalanya.

Mommy kan tahu, Habibah dan Daniel bukannya bercinta pun,” pendek sahaja jawapan dari Qassif Daniel. 

“Kenapa Daniel sampai hati buat anak orang lain macam begitu? Daniel kan tahu Habibah tu anak yatim, Daniel juga tahu kan berdosa menganiayai anak yatim?”

“Daniel tidak menganiayai Habibah mommy!”

“Habis tu, kalau bukan penganiayaan? Pengorbanan ke?” Sinis sahaja jawapan dari Datuk Mansor.
Qassif Daniel mengetap bibirnya, geram dengan kedua orang tuanya yang tidak memihak kepada dirinya.

“Kenapa daddy tiba-tiba prihatin pula dengan masalah Habibah?” Qassif Daniel sudah tidak dapat menahan sabarnya.

Daddy prihatin dengan kamu Daniel,” suara Datuk Mansor seakan ditahan-tahan, lahar amarahnya yang dipendam sejak sekian lama juga seolah-olah akan meletus bila-bila masa sahaja.

Datin Zubaidah yang faham dengan sikap suaminya cepat-cepat mencapai tangan suaminya, dengan isyarat mata, dia meminta agar Datuk Mansor tidak bertindak melulu dan mengeruhkan lagi keadaan.
Datuk Mansor merengus kasar.

“Prihatin pada Daniel? Daniel tak faham.”

“Daniel, dengar dulu cakap daddy,” Datin Zubaidah mencelah.

Mommy, kalau daddy prihatin dengan Daniel, daddy mahupun mommy tidak akan membantah perancangan perkahwinan Daniel dengan Zarra!” Qassif Daniel amat kecewa dengan kedua orang tuanya.

“Bukan macam tu Daniel,” Datin Zubaidah bangun dari tempat duduknya dan melabuhkan punggung di sebelah anak bongsunya. Bahu Qassif Daniel disentuh lembut. 

Qassif Daniel segera menarik nafas dalam-dalam. Kesedaran mengunjunginya dan serta merta dia merasa bersalah terhadap kedua orang tua yang banyak membimbing dan mendidik dia selama ini, entah kenapa api kemarahannya membuak-buak sebentar tadi.

“Daniel, cuba bagitahu mommy, apa telah terjadi di antara Daniel dengan Habibah, kenapa tiba-tiba jadi begini?” Datin Zubaidah memujuk Daniel dengan suara yang lembut, tona suaranya yang mendatar sedikit menenteramkan Qassif Daniel.

Qassif Daniel melepaskan keluhan berat.

“Kami… kami… kami dah berpisah!”

Datuk Mansor memberikan pandangan yang kurang senang, sementara Datin Zubaidah segera menarik tangannya dari bahu Qassif Zainal. Sebak rasanya dada Datin Zubaidah. 

“Di mana Habibah sekarang?” Datin Zubaidah bertanya.

Qassif Daniel sekadar mengangkat bahu.

“Apa dah jadi?”

Qassif Daniel menggelengkan kepalanya.

“Daniel?” Ulang Datin Zubaidah.

“Bibah… Bibah… Dia… Dia menjalinkan hubungan sulit dengan orang lain.”

Air muka Datin Zubaidah berubah. Dia tidak percaya sama sekali, dia yakin, pasti berlakunya salah faham di antara keduanya. Qassif Daniel sering meluangkan masa di rumah mereka sejak beberapa bulan lepas dan Datin Zubaidah sendiri merasakan ada sesuatu yang tidak betul.

Mommy tak percaya!” Datin Zubaidah menggeleng-gelengkan kepalanya. 

“Terpulanglah mommy, Daniel nampak dengan mata kepala Daniel sendiri,” redup mata Qassif Daniel ketika menuturkan ayat tersebut, jelas sungguh hatinya kecewa dengan perlakuan sumbang isterinya. Senyuman manis Habibah yang dilemparkan pada Rayyan telah meragut seluruh kepercayaan dan kasihnya pada wanita itu.

“Rayyan memang tidak boleh dipercayai!” Qassif Daniel mengepal penumbuknya.

Datin Zubaidah mengetap bibirnya.



“DANIEL tak ubah seperti budak-budak Auntie, saya dan Habibah hanya bercerita kosong sahaja sementara menunggu Farrah dan Maya, tiba-tiba Daniel muncul dan mengamuk sakan, hidung saya hampir patah ditumbuknya!”

Datin Zubaidah beristighfar. Cuba menelan setiap cerita dan kejadian yang menimpa Habibah dan Qassid Daniel. Terasa dirinya sungguh berdosa kerana tidak mengambil peduli masalah ini sejak sekian lama.

“Rayyan tak cuba terangkan pada Daniel ke?”

Rayyan tertawa sinis.

“Nak buat macam mana lagi Auntie, saya dan Habibah cuba untuk memberitahu situasi sebenar, tapi Daniel memang macam orang yang hilang akal masa tu, dan Zara…”

Rayyan tidak jadi meneruskan ceritanya, nafas panjang dihela.

“Zara? Kenapa?” Datin Zubaidah sudah tidak sabar.

“Saya yakin semua perkara ni ada kaitan dengan Zara, Zara tidak puas hati dengan pernikahan Daniel dengan Habibah!”

Datin Zubaidah merenung mata Rayyan dalam-dalam.

“Tapi… Zara juga yang merestuinya!” Ujar Datin Zubaidah kebingungan.

“Rayyan pasti ada udang di sebalik batu. Pernikahan terburu-buru di antara Daniel dan Habibah mesti ada sebabnya,” fikiran Rayyan turut buntu.

“Kenapa tiba-tiba Rayyan syak Zara terlibat pula?” Datin Zubaidah berusaha untuk merungkai persoalan di mindanya, misteri demi misteri yang membelenggu rumahtangga anak tunggal lelakinya benar-benar melemaskannya.

“Sebab… sebab Zara akhirnya dapat mencium cinta Daniel pada Habibah, dan Habibah bukan lagi dijadikan alat untuk kepentingan Daniel?”

“Kepentingan?” Datin Zubaidah semakin bingung buat seketika. Namun akhirnya dia melepaskan nafas berat, “Tapi Auntie yakin Daniel dah berubah, perasaannya pada Habibah pun bukan seperti mula-mula mereka bernikah dulu, Daniel banyak berubah sampai dia sendiri berpindah dan tinggal dengan Habibah selama beberapa bulan.”

Giliran Rayyan pula yang bermenung panjang. Daniel berpindah masuk dan tinggal bersama Habibah? Sepantas kilat Rayyan ingin menampar wajahnya sendiri, baru dia menyedari yang Qassif Daniel dan Habibah sememangnya suami isteri yang sah.

Adakah ini semua adalah angkara…

“Sophia Ezara?” 

Kedua-dua Datin Zubaidah dan Rayyan bersuara serentak.

“Tapi kenapa?” Datin Zubaidah melontarkan persoalannya sekali lagi.

“Entahlah Auntie…”

“Kasihannya Habibah…” Datin Zubaidah bersuara lirih. Perasaan bersalahnya meyelubungi buat kesekian kali. Teringat perjumpaannya dengan Habibah dahulu, bagaimana dia meminta agar Habibah merestui sekiranya Qassif Daniel ingin berkahwin lagi. Dadanya bergelodak pilu.

“Rayyan, Farrah dan Maya sentiasa menemani Habibah Auntie,” dalam keadaan yang serba salah, Rayyan cuba untuk meluahkan apa yang berbuku di benaknya.

Mungkin peluang ini adalah yang terbaik untuk dia memberitakan khabar kandungan Habibah meskipun Habibah menegahnya keras. Bagi Rayyan, penderitaan Habibah harus dikongsi dan harus diketahuinya oleh ibu mertuanya.

Auntie… err… auntie,” Rayyan ingin meneruskan namun tekaknya seperti tersumbat, sehingga nafasnya sendiri seperti tersekat.

“Sebenarnya… err…” Nafas Rayyan mula melaju, air liur yang tawar terasa enak ditelan berkali-kali.

“Rayyan ada rahsiakan sesuatu dari Auntie ke?” Air muka Datin Zubaidah telah berubah, sesuatu yang besar pasti berusaha disembunyikan oleh Rayyan.

Rayyan hanya merenung Datin Zubaidah, hati dan otaknya ligat berbicara sesama sendiri. 

Cakap Rayyan!

Tidak, kau hanya akan mengeruhkan keadaan!

Kalau kau tidak beritahu, bagaimana kau hendak menolong Habibah!

Jangan Rayyan, Habibah perlukan masanya sekarang, tolong beri dia ruang!

Habibah perlukan bantuan dari keluarga terdekatnya, ini masa keemasan, gunakannya Rayyan!

Jangan jadi bodoh Rayyan, Habibah pasti akan terluka sekiranya kau buka mulut!

Cakap!

Tidak!

Cakap!

Tidak!

“Argh!!!” Rayyan menumbuk kuat meja di hadapannya.

Datin Zubaidah terperanjat. Rayyan turut tersentak dengan tindakannya.
“Kenapa Rayyan?”

Wajah Datin Zubaidah dipandang terus, antara kemahuan dan keinginan dan keperluan, Rayyan akhirnya membuat keputusan nekad.

“Tidak ada apa-apa Auntie, Rayyan tidak ada apa-apa yang nak bagitahu Auntie pun,” pada saat yang sama, Rayyan terasa seperti hendak menjerit sekuat hatinya sambil menghumbankan dirinya ke dinding restoran itu.



Berkahwin dengan seseorang yang tampan dan kaya raya merupakan impian setiap gadis. Semenjak kecil, ramai anak-anak gadis mengimpikan kehidupan fantasi seorang gadis biasa yang akhirnya dapat berkahwin dengan seorang putera raja yang tiada tolok bandingan kacaknya, nama yang termasyur di serata negeri dan kekayaan melimpah ruah yang tidak akan habis hingga beberapa generasi sekalipun. Begitu mudahnya menyulam impian, gadis-gadis kecil yang belum mengerti perjalanan hidup sepenuhnya akan tersenyum riang dengan angan-angan yang terpasang indah.

Qassif Daniel merupakan satu anugerah di dalam hidupnya. Habibah mempercayai itu. Dia juga percaya kehadiran Qassif Daniel di dalam hidupnya bukan satu kebetulan. Meskipun dipaksa menandatangani di helaian kertas, tapi dia tahu kehadiran Qassif Daniel membawanya lebih jauh dari apa yang tercatit di kontrak itu. Lantaran itulah, sehingga ke hari ini, dia memilih untuk bersabar di dalam rumahtangganya. 

Aku tidak akan mengaku kalah pada perhitungan ini Daniel, keadaan aku yang tersiksa kini, pasti akan mendapat habuan yang lumayan di kemudian hari, rintih hatinya terus.
Aku tidak mengiakan setiap kejadian ini begitu sahaja kerana aku tahu ada hikmahnya kelak, cuam aku berharap agar hati aku akan sentiasa kuat dan tabah menghadapi semua ini demi anak kita yang aku kandung, anak ini tidak berdosa.

Hakikatnya hati aku sungguh tersiksa, yang sebenarnya hati aku hampir mati merindui engkau Daniel, kenapa kau tidak muncul barang sedetik? Hina sangatkah aku ini?

Aku tidak mengenal erti cinta sebenar, sampailah ia hadir bersama engkau, aku tidak mengenal erti rindu, sampai jantung aku nyaris pecah menantikan engkau, aku tidak mengenal erti sedih, sampailah engkau melangkah jauh dari aku, aku tidak mengenal erti cemburu, tidak sehingga aku nampak dia disisi engkau. Aku anak yatim, aku pasrah akan kehilangan orang tuaku, namun aku masih lagi menyesuaikan diri dengan kehilangan engkau, suami aku, dan kini sedikit demi sedikit, aku menyelami erti kekecewaan.

Cinta, rindu, sedih, cemburu dan kecewa, itukah adunan resepi menuju bahagia?

Sophia Ezara yang berketrampilan dan berkarisma, bagaikan enggang dengan pipit jika dibandingkan dengan aku, aku memang tidak layak untuk berdiri sama tinggi dengan wanita hebat itu, dan wanita itulah sebaik-baiknya jodoh Qassif Daniel. Andainya Qassif Daniel berkahwin dengannya, aku tidak punya hak untuk menghalang, kerana aku memang tidak layak. Habibah menggigit bibirnya sendirian.

Perut yang kian membonjol dibelai lagi, jantina sudah dikenalpasti namun Habibah meminta doktor agar merahsiakannya dari dia. Sejak akhir-akhir ini, selera makannya bertambah baik, tiga bulan yang pertama, Habibah sampai meringkuk di sudut kamar mandi, kadang-kadang duduk di mangkuk tandas dengan air yang terpasang menyirami kepalanya, dalam ketidak laratan membawa kandungan, dia tetap menguatkan diri, hidupnya sungguh-sungguh sunyi.

Tidak dinafikan, keprihatinan Maya, Farrah dan Rayyan banyak mengubat duka hatinya, namun dia sering mengharapkan agar Qassif Daniel berada disampingnya, membelai perutnya dan mengusap belakangnya, dia benar-benar perlukan kasih sayang dari lelaki itu. 

Aku tidak perlu rasa bersalah untuk mencintaimu Daniel, dan aku juga tidak perlu rasa berat untuk melepaskanmu, sepatutnyalah!

Argh!!!

Habibah menutup wajahnya dengan bantal, pemandangannya mula kelam.



[BERSAMBUNG]

22 comments:

  1. kenapalah rayyan tak nak bagitau bibah mengandung...

    ReplyDelete
  2. Semoga habibah sembunyikan diri bila Danial tahu bibah mengandung biar dia sasau mencari nya. thrilled sikit......haha4x thank you Vel

    ReplyDelete
  3. vel, how could u....why why why....nampak gaya kena tunggu seminggu lagi laaa

    ReplyDelete
    Replies
    1. whyyyy!!! haha... relax dulu bah kita... chill darling!

      Delete
  4. Aduhi bergetar jiwa...kenapa la rayyan xbgtau kat datin tu erk...semakin menarik....xsabar manunggu next week.....

    ReplyDelete
  5. alaaa..lame pulak nk tgu next week
    rasenya boleh kot if bibah mintak lepaskan since spjg mengandung daniel tak amik tau kan..then rayyan , farah n maya boleh jd saksi..takperlu bergantung sgt kat daniel

    bibah be strong please..jgn tjk lemah !!! further study lepas nie k
    say bye2 jek kat daniel tu

    ReplyDelete
    Replies
    1. bibah tidak akan lemah :) dia insan yang kuat :)

      Delete
  6. Semuga apa yg berlaku pada Bibah ada hikmah disebaleknya. Bibah kena tabah
    dan jgn cepat mengalah untuk harungi hidup tanpa Daniel di sisi. tak sabar nak
    tunggu n3 baru.

    ReplyDelete
  7. TERUJA GILER NAK TAHU KISAH SELANJUTNYA.

    ReplyDelete
    Replies
    1. thanks baby mio! teruskan menyokong k :)

      Delete
  8. Dear Vel, thank u & love this n3! Cuma agak terkilan dgn sikap Daniel yg x matang.....mcm yg selalu org cakap, ikut hati mati, ikut rasa binasa...So Daniel, pls do some soul searching... but love watak Bibah yg tabah. Do continue ye Vel...

    ReplyDelete
  9. alahai.. 27 blom kuar lagi?? haduii.... hari nie baru 6/03... aduii... rinduu dahhh...

    ReplyDelete
  10. Bibah perlu semangat kental untuk baby..pergi luar negara sambung belajar then besarkan anak..pastu tunjuk kat Daniel yang dia boleh berjaya gak...hidup Bibah...

    ReplyDelete
  11. TERUJA SANGAT BAH SIMPATI KAT BIBAH BAGI SUSPENS N3 SETERUSNYA...TAK SABAR RASANYA MENUNGGU JUMAAT.......

    ReplyDelete
  12. aduhhh... mana en3 baru nih...gawatttt

    ReplyDelete