Thursday, April 17, 2014

Isteri Kontrak :: Bab 33

Peace be with you all.
Again, here I am to inject you with an adrenalin rush into your blood haha...
This chapter may not as gedik as the previous, but just remember that this is only a chapter okey.
I am working hard days and nights to make Bibah a success story.
Be with me, share your spirit, would you?
___________________________


“INI dokumennya Tuan Daniel!”

Qassif Daniel merenung sampul berwarna coklat yang dihulurkan oleh Melissa, setiausahanya. Jantungnya berdebar-debar untuk menerima sampul itu walaupun dia dapat membaca isi kandungannya. Tapi, tidak adakah sebarang bantahan atau permintaan khas dari isterinya itu?

“Tuan Daniel?” Suara Melissa kedengaran lagi. 

Sampul itu tetap sama seperti mana semasa Qassif Daniel menyerahkan kepada Habibah minggu lepas. Di dalam sampul itu tersimpan satu borang yang bakal merobek setiap hati isteri yang menerimanya, satu borang yang menghancurkan harapan mereka untuk tidak berkongsi kasih dengan sesiapa pun, dan borang yang sama juga bakal menghentikan igauan indah setiap isteri sekiranya dihulurkan kepada mereka.

Tidak semua wanita akan kuat menghadapinya, Qassif Daniel arif dengan hal itu, namun mengapa Habibah begitu kuat, begitu cekal dan begitu tenang dengan permintaannya? Tidakkah hati kecilnya itu terluka, tidakkah sakit hatinya? Apa ada di dalam hatimu Habibah?

“Tuan Daniel nak saya letak kat sini ke?” Melissa sudah tidak selesa dengan renungan tajam Qassif Daniel pada sekeping sampul yang masih kemas di genggaman Melissa.

Qassif Daniel melepaskan keluhan berat.

“Tuan Daniel tak apa-apa?” Melissa cuba mengubah soalannya agar majikannya itu mahu menjawabnya. Dia mula merasakan dirinya seolah-olah sebatang tunggul mati di hadapan Qassif Daniel.

“Letak saja kat sana!”

Kan bagus kalau kau jawab aku dari tadi, bisik hati Melissa. Sampul diletakkan kemas di atas meja Qassif Daniel. Boleh kah saya keluar sekarang boss?

“Awak boleh keluar dulu.”

Bagaikan terjegil biji mata Melissa. Boss aku belajar bahasa jiwa dekat mana-mana kah? Boleh pula dia baca minda aku?

Tanpa membuang masa, Melissa mengatur langkah tertib ke arah pintu, dia berdoa panjang di dalam hatinya agar Qassif Daniel tidak memanggilnya semula. Dia kenal benar dengan majikannya itu, keadaan dirinya yang sekarang bukanlah masa yang sesuai untuk dia berbincang pasal kerja atau bergurau tentang isu semasa. Masa sekarang adalah Qassif Daniel untuk merenung sampul surat coklat itu selama yang dia mahukan.

Apabila pintu pejabat Qassif Daniel di katup rapat, Melissa mengurut dada dan bersyukur sepenuhnya. 

“Boss macam mana?” Khalid, budak dispatch yang memang sangat penyibuk tapi baik hati itu bertanya.

“Kau ni sibuk!” Marah Melissa.

“Eleh Cik Melissa, cuma nak tanya sajalah. Saya dapat rasakan….” Khalid mengangkat tangannya dihadapan Melissa membuatkan Melissa turut memerhati tangan itu dengan setia.

“Rasakan apa?” Melissa sudah tidak sabar.

“Saya dapat rasakan…” Khalid melembutkan suaranya, “yang Cik Melissa juga seorang yang penyibuk!” Khalid terus ketawa kecil.

“Ciss!” Marah Melissa. Dia terus duduk di tempatnya.

“Tapikan Khalid…”

Khalid mendongak, berminat sungguh untuk mengetahuinya. 

“Saya rasa ada sesuatu yang berat dan besar melanda hidup Tuan Daniel,” Melissa memulakan tilikannya.

“Seperti apa?”

“Boss nak berkahwin lebih dari satu!”

“Boss dah kahwin ke?”

“Hei! Mana tahu dia dah kahwin? Kan?”

“Entahlah…” Khalid menggeleng-gelengkan kepalanya. “Tapi tadi, perempuan yang serahkan saya sampul tu baik orangnya, cantik juga, manis mukanya.”

“Perempuan?” Melissa menghidupkan mod penyibuknya.

“Iyalah…”

“Siapa perempuan tu?”

“Nama dia Puan Habibah, dia sarat mengandung tau!”

Habibah? Mengandung?

Melissa mula terbayangkan pertengkaran di antara Qassif Daniel dan Sophia Ezara tidak lama dahulu, Habibah? Arghh… nama itu muncul kembali. Mesti ada apa-apa lagi.



URUSAN pendaftaran syarikat akhirnya selesai. Habibah kini bergelar Pengarah Urusan pada syarikat yang ditubuhkannya sendiri. Awal pagi lagi Maya dan Farrah menemaninya menemui Ibu Salbiah di Rumah Anak Yatim Seri Kenangan. Habibah ingin mendapatkan doa dan restu dari wanita yang berusia hampir separuh abad itu. Ibu Salbiah yang bagaikan ibu kandungnya itu ternyata gembira dengan kunjungan mengejut mereka.

Ibu Salbiah sedia maklum akan kandungan Habibah kerana Habibah telah memberitahunya awal-awal lagi. Kunjungan tersebut merupakan yang pengalaman yang pertama bagi Farrah dan Maya. Sejak mereka melangkah masuk, mata mereka tidak lekang dari menerokai seluruh pelusuk rumah anak yatim itu, tempat di mana Habibah membesar dan mengenal dunia kecilnya, tempat yang menemukan Habibah dengan Qassif Daniel dan tempat yang bakal melahirkan seorang lagi usahawan di Malaysia.

Tidak ramai yang berada di rumah anak yatim pada masa itu kerana rata-rata penghuninya sudah ke sekolah. Rumah Anak Yatim Seri Kenangan kini melindungi dua puluh orang anak-anak yang kurang bernasib baik berumur sekitar lima tahun hingga tujuh belas tahun. Kesemua mereka bagaikan adik-adik kepada Habibah. Hanya seorang anak yatim sahaja yang boleh memahami kehidupan dan perasaan seorang anak yatim yang lain.

“Bibah, panggil kawan-kawan mari makan dulu,” Ibu Salbiah tekun menghidangkan juadah nasi lemak di atas meja dibantu oleh Kak Yati yang sememangnya digaji untuk membantu di rumah tersebut.

Farrah dan Maya cepat-cepat datang dan membantu sama, Habibah yang sarat berjalan perlahan-lahan sambil memegang perutnya. Maya menarik kerusi dan membantu Habibah untuk duduk, Habibah tersenyum tanda terima kasih, Maya sekadar mengenyitkan matanya.

“Kak Yati tak makan sama?”

Kak Yati menggeleng mesra.

“Kak Yati dah makan tadi, Bibah makanlah dengan kawan-kawan,” ujar wanita itu dengan penuh mesra.

“Daniel mana? Lama ibu tak jumpa dia.”

Hampir tersedak Habibah, Maya yang berada di sampingnya cepat-cepat menyuakan gelas yang berisi air.

“Daniel ada ibu, cuma dia terlalu sibuk sekarang, sebab daddy dia dah jarang jenguk syarikat!” Habibah memandang ke arah Farrah dengan pandangan mengucapkan terima kasih kerana menyelamatkan keadaan.

Bukan Habibah ingin berahsia tentang masalah rumah tangganya, namun dia merasakan Ibu Salbiah ada banyak lagi masalah yang perlu dibereskan selain dari memikirkan masalahnya.

Habibah menjamah nasi lemaknya dan menyuap perlahan-lahan ke mulutnya. Di dalam hati dia mendoakan agar Ibu Salbiah tidak akan membangkitkan soal Qassif Daniel lagi.

“Tambah nasi Bibah…” belum sempat Bibah menjawab nasi lemak telah disenduk ke pinggannya, kebetulan Habibah memang lapar, tambahan pula dia memang rindukan masakan Kak Yati, Habibah melayan sarapannya dengan berselera sekali.

Mommy dan daddy Daniel sihat?” Soal Ibu Salbiah lagi.

Habibah menganggukkan kepalanya kerana mulutnya sibuk mengunyah, walaupun tidak tahu keadaan keluarga mertuanya namun dia cukup pasti mereka itu sihat-sihat sahaja. Melawat mereka? Habibah belum lagi terfikir memandangkan statusnya di kalangan keluarga itu masih belum cukup meyakinkan dirinya.

Maya menendang kaki Habibah di bawah meja apabila melihat keselambaan Habibah menjawab Ibu Salbiah. Giliran Habibah pula mengenyitkan mata. Farrah turut berasa serba salah. Apa telah terjadi kepada Habibah? Keselambaannya mengundang tanya tanya. 

Habibah tidak menghiraukan perbualan-perbualan yang berlangsung di antara Ibu Salbiah, Farrah dan Maya, tumpuannya hanya pada pinggan nasi lemaknya dan gelas yang berisi milo kosong. 

“Kenyang, terima kasih ibu!” Habibah menjilat jarinya sambil tersenyum puas. Ibu Salbiah menggeleng-gelengkan kepalanya, memikirkan keadaan Habibah yang sarat mengandung, dia memutuskan untuk memaafkan sahaja anak angkatnya itu. 

Selesai bersarapan, mereka semua berkumpul di halaman hadapan rumah, Habibah benar-benar merindui masa lampaunya, duduk bersama Fiza di bangku kayu di depan rumah itu sambil membuat kerja sekolah. Arghh kenangan silam!

“Nanti Bibah berpantang siapa yang jaga?” Soalan dari ibu Salbiah memeranjatkan Habibah sekali lagi kerana selama ini, Habibah tidak pernah terfikir pun mengenainya.

“Belum tahu lagi ibu,” jawab Habibah jujur.

“Erm… ibu pun tak reti sangat nak jaga orang berpantang, tapi adalah kawan ibu mak bidan yang biasa jaga orang berpantang kalau Bibah nak.”

Habibah mengangguk-angguk. 

“Nanti Bibah telefon ibu okey.”

Giliran ibu Salbiah mengangguk.

“Bibah…” tiba-tiba suara lembut ibu Salbiah berbunyi semacam, Habibah menoleh ke arah wanita yang amat disayanginya itu. 

“Bibah jangan aktif sangat buat masa ni, Bibah kena jaga diri baik-baik,” anak rambut Habibah yang berjuntaian di dahi diusap ke belakang, Habibah berasa terharu dengan kasih sayang ibu Salbiah, tubuh wanita itu dirangkul erat.

“Bibah sihat saja ibu, ibu jangan bimbang sangat.”

“Ibu risaulah, ni Bibah sibuk nak buka syarikat, nak meniaga pula, tak boleh ke tunggu sampai lepas bersalin nanti?”

Habibah ketawa lembut.

“Belum mula lagilah ibu, pejabat pun masih di dalam proses ubah suai.”

Ibu Salbiah mengeluh. Wajah Habibah yang semakin berisi pipinya direnung lama.
“Ibu bangga dengan Bibah, sangat bangga!”

Habibah mula berasa sebak. Oh ibu! Andainya ibu tahu apa yang sedang berlaku dalam hidup Bibah, mesti ibu juga akan terluka. Anak ibu ini sudah terlalu menderita ibu, hati ini sudah tercalar dan palitan yang menggaris pedih luka ini tidak akan hilang sampai bila-bila ibu, anak ibu amat bersyukur kerana didikan ibulah, anak ibu masih di sini, masih kuat dan tidak mengalah. Hati Habibah berbisik di dalam sendu.

“Kenapa Bibah tergesa-gesa sangat nak mulakan syarikat Bibah tu?”

“Bibah cuma nak bersedia dari awal ibu.”

“Bersedia?”

“Ya.”

“Untuk apa?”

Habibah tersenyum kelat.

“Untuk anak Bibah ni,” Habibah mengusap lembut perutnya. Bayinya semakin aktif dan sering saja menendang perut si ibu.

Ibu Salbiah mengerutkan dahinya.

“Untuk anak? Kenapa?”

Habibah faham maksud ibu Salbiah, keluarga Qassif Daniel memang dari keturunan yang mewah tapi kenapa dia pula perlu menyediakan segalanya untuk anak mereka?

Farrah dan Maya datang menyertai mereka, mereka dapat mengagak sesuatu yang agak sensitif telah diajukan kepada Habibah apabila melihat air muka Habibah yang agak kusam. 

“Apa dah jadi?” Ibu Salbiah makin berasa tidak senang hati, tergerak juga hatinya kerana sering mengunjunginya tanpa Qassif Daniel datang bersama, namun dia sentiasa bersangka baik.

“Tak ada apa-apa ibu,” ujar Habibah lembut, “Cuma Bibah rasakan Bibah juga perlu berdikari daripada bergantung sepenuhnya pada Daniel, ibu tahu kan? Perjanjian biasiswa dengan penaja telah dibatalkan kerana perkahwinan kami.”

Ibu Salbiah mula berasa sedikit lapang dada.

“Bibah nak usahakan sesuatu untuk anak ini, sekiranya ada rezeki dari ayahnya nanti Bibah tak tolak, cuma Bibah juga mempunyai keinginan tersendiri untuk anak ini.”

Farrah dan Maya saling berpandangan. Mereka tahu itu bukan jawaban selamat untuk melarikan diri tapi itu adalah jawaban jujur dari Habibah. Ibu Salbiah tersenyum puas hati. Dadanya lega sama sekali dengan penjelasan Habibah.

“Sebab itu ibu kata ibu sangat bangga dengan Bibah!” Ubun-ubun Habibah dikucup lembut, begitu syahdu dan sejuk perasaan Habibah menerima kucupan daripada wanita yang sangat menyayangi dirinya itu. 

Farrah dan Maya saling berpandangan dan tersenyum hiba. Habibah memang wanita yang bertuah!

Telefon bimbit Habibah tiba-tiba berdering, nombor yang tertera di skrin tidak dikenalinya, Habibah memandang Farrah dan Maya bersilih ganti.

Tanpa menunggu lama, Farrah mengambil telefon tersebut dan melangkah ke tepi pagar.

“Hello!!” Suara kasar milik wanita yang dikenalinya, sungguh kasar namun Farrah masih boleh tersenyum.

“Assalamualaikum.” Lembut saja suara Farrah.

“Hei perempuan, kau dengar sini baik-baik, aku dah bagi kau amaran! Tapi kau degil, kau jangan nak mencabar aku!”

“Cabar?” Hanya sepatah keluar dari mulut Farrah.

“Engkau dah melampau. Apa ilmu kau gunakan ke atas bakal suami aku hah?”

“Zara, calm down.”

“Kau jangan nak berlagak baik depan semua orang, aku nak kau minta cerai dengan Daniel sekarang juga. Aku tak ingin nak jadi isteri kedua!”

Farrah tersenyum sinis.

“Kenapa tak nak? Bukankah berkongsi itu lebih baik?”

“Hei kau dengar sini, baik kau minta cerai atau kau akan menyesal seumur hidup kau!”

“Kami takkan menyesal Zara, jodoh dan maut di tangan Tuhan, you tak ada hak untuk menentukan kemahuan dan perasaan orang lain, you jangan bongkak Zara, dah cukup baik Daniel nak kahwin dengan you, dan dah cukup baik Bibah bagi persetujuannya. Be thankful Zara, dan dengar sini baik-baik kalau you berani ugut Habibah macam ni lagi kami tidak akan teragak-agak heret you ke mahkamah!”

Tiada suara di hujung corong. Farrah menarik nafas sehela.

“Oh ya by the way, this is Farrah, take care my dear and good bye!”

Klik.

Farrah tersenyum puas.

[Bersambung...]


___________________________

Tadi I timbang berat, my weight has reduced to 66.6kg now hahaha...
what was my last weight in my last post?
Okey tak kelakar.

Hehe.
Have a great weekend ahead people.

8 comments:

  1. Yeayyyy.....seronoknya bila Farah bahaskan si Zara tu. Padan muka Zara. Biar dia rasa...

    Tq dear...

    Oh yer, tak nak ke disablekan verification untuk komen? Bukan apa, kadang2 akak macam susah sikit nak baca nombor2 tu.

    ReplyDelete
  2. thank you vel cos still continue berkarya ingatkan dah dihentikan bagaimana di announcekan kelmarin..?. you are the best n sentiasa menunggu

    ReplyDelete
  3. Kihkihkih... Padan muka zara.. Vel mmg pandai mainkan perasaan... Dlm bab ni semua rasa dh bercampur.. Rasa serba salah Daniel, rasa pilu bibah sy sudah terbuai sedih... Tiba2...ayat mkn dalam dr farrah utk zara.... Nah kau tersenyum sy.... Happy sgt2...olahan cerita yg Bgs.... Teruskn berkarya...

    ReplyDelete
  4. TQ val...selalunya 'knight wt a shining armour' adalah lelaki tapi dlm citer ni that will be Farah and the guardian angle adalah Rayyan & Maya....evil stepmother, Zara....hahahahaha....at the moment can't see Qasif Daniel as the hero...who know val nak cipta satu watak 2nd hero yg bakal menggugat Daniel....only u will know and..happy writing dear....pls publish cepat2 yeee...

    ReplyDelete
  5. Hahhaha best sngt....lain kali bagi kaw2 kat zara tu vel....

    ReplyDelete
  6. best giler vel.....pandai betul u mainkan perasaan reader mcm saya nie,by the way thumb up to farah....kenakan si zara
    cepat-cepat publish vel tak sabar nak membelinya:)

    ReplyDelete
  7. arrgh xsabar nak tggu lg nxt entry... :)

    ReplyDelete