Wednesday, April 15, 2015

Payungkan Hujan Di Hatiku :: Bab 4



“ASSALAMUALAIKUM!”
“Fathia?”
“Kenapa tak jawab salam aku?” Fathia yang masuk ke dalam pejabatnya secara tiba-tiba memang amat mengejutkan, kunjungan yang tidak diduga sama sekali.
“Who is Fathia sayang?” Satu lagi suara bergema dari corong telefon mengejutkannya, sudahlah dia menelefon Aida Yasmeen dengan speaker phone.
“Err… I will call you back shortly.” Taufik Idham yang kelihatan kalut dan menggelabah terus mematikan talian.
“Tak apa, aku boleh tunggu, kenapa kau putuskan talian?” Suara Fathia memang kedengaran agak bengang, mungkin Diana telah menceritakan segala-galanya kepada sepupunya itu.
Hati Fathia terdetik juga dengan curiga, sangkaannya Taufik Idham menjalinkan hubungan sulit dengan seseorang nampaknya tidak meleset, Tuhan nak tunjuk sekejap saja.
“Nanti aku boleh telefon balik, hal business.” Taufik Idham cuba berlagak selamba, sekadar menutup rasa gugupnya.
“Business?”
Taufik Idham memgangguk dan matanya pura-pura diarahkan ke arah komputer riba di hadapannya. Fathia hanya tersengih, mengejek.
“Kau nampaknya sibuk.”
“Aku memang sibuk.”
“Betul ke?”
“Kau tak nampak ke?”
“Aku kan baru datang, mana aku tahu…” jawab Fathia acuh tak acuh.
“Kau datang ni nak apa?”
“Salah ke aku datang? Selama ni kau tak pernah pun persoalkan?”
“Tak salah…” mendatar sahaja suara Taufik Idham.
“Kau macam tak suka.”
“Aku sibuk!”
“Oh ya?” Fathia kembali dengan senyuman mengejek. Taufik Idham menjadi panas hati tiba-tiba.
“Apa yang kau sibukkan sangat?”
Fathia bangun dari kerusinya dan berjalan mundar mundir di dalam ruang pejabat Taufik Idham, pejabat itu memang sering dikunjunginya bersama Diana, selama ini Taufik Idham tidak pernah pula mempersoalkan kehadirannya. Bahkan lelaki itu gembira kalau dia datang bersama Diana? Tapi kenapa kali ini dia nampak sangat kalut dan tidak selesa?
Fathia menguntum senyum. Siapakah gerangannya perempuan tadi di telefon tadi? Adakah betina itu yang menjadi parasit di dalam rumahtangga sepupunya? Suara yang kedengaran manja mengedik itu memang agak menggelikan. Fathia berpaling semula ke arah Taufik Idham.
“Siapa tadi tu?” Fathia memang tidak pernah sabar, lebih-lebih lagi apabila mendapat tahu Taufik Idham hendak menceraikan sepupunya Diana tanpa sebarang sebab yang kukuh, darahnya memang menyirap naik.
“Siapa?” Taufik Idham berpura-pura sibuk.
“Yang panggil kau sayang…” sindir Fathia lagi.
Taufik Idham tersentak, dia terbatuk kecil.
“Itu… itu pasal kerjalah.” Taufik Idham cuba bersikap selamba.
“Kerja? Kena bersayang-sayang ke?”
“Biasalah sekarang ni, aku pun boleh panggil kau sayang kalau kau nak!”
Kembang anak tekak Fathia mendengarnya. Lelaki kalau sudah kemaruk cinta baru memang macam begitulah, ada sahaja alasan dan pendirian yang tidak masuk akal.
“Aku tak nak!”
“Habis tu?”
“Apa hal sampai kau sanggup nak ceraikan Diana?”
Taufik Idham menggigit bibirnya, hatinya menggerutu geram pada Diana, boleh pula Diana bercerita hal rumah tangga mereka kepada orang lain.
“Diana mengaduh ke?”
Fathia terdiam sambil berfikir sejenak.
“Jadi betullah?”
“Kenapa kau sibuk?”
“Dia sepupu aku.”
“Walaupun dia sepupu kau, boleh ke kau masuk hal rumahtangga orang sesuka hati kau?”
“Tak boleh ke?”
Giliran Taufik Idham pula terdiam. Kalau Diana ada dihadapannya sekarang, mahu ditamparnya, disepaknya wanita itu.
Huh! Sampainya hati kau Taufik Idham. Bukan kah dia yang kau terkejar-kejar satu ketika dahulu.
Itu dulu!
Apa bezanya sekarang?
Aku sudah tidak ada hati padanya lagi?
Semudah itu hati kau berubah, kerana Aida Yasmeen?
Jangan kau pertikaikan Aida Yasmeen, kau siapa?!!
Aku ini hati kau Taufik Idham…
Taufik Idham tersentak sendiri, tanpa sedar dirinya bermonolog sendirian, dan sikapnya yang kebingungan diperhatikan sahaja oleh Fathia.
“Kau kenapa? Muka tiba-tiba pucat lesi macam mayat je.” Fathia masih bersikap selamba.
Taufik Idham menggelengkan kepala sambil mengesat peluh dingin didahinya.
“Betul kau tak apa-apa?”
Taufik Idham menggeleng lagi.
“Boleh jawab soalan aku tadi?” Fathia masih lagi tidak berpuas hati, Taufik Idham yang tiba-tiba pucat wajahnya dan semakin bingung itu sedikit pun tidak mengutik niatnya, dia mesti mengorek punca sebenar lelaki itu tiba-tiba berubah hati.
“Boleh tak kau balik dulu?” Taufik Idham memicit-micit kepalanya, pening dia tiba-tiba.
Fathia merenungnya tajam, kalau diikutkan hati, tiada sekelumit pun simpati di hatinya untuk Taufik Idham, bahkan lelaki itu kalau boleh ingin dikerjanya cukup-cukup. Tapi kalau aku teruskan juga pertanyaan-pertanyaan aku, ada juga lelaki ni mati kejap lagi, getus hatinya.
“Aku akan cari kau lagi Idham! Jangan kau ingat aku boleh lepaskan kau!” Kata-kata berbaur ugutan dari Fathia sebelum dia meninggalkan Taufik Idham yang duduk bersandar dengan mata terpejam di kerusinya.
Hati Fathia memang panas, dia tahu dia tidak patut masuk campur di dalam masalah rumahtangga orang lain, tapi dia tidak sampai hati melihat keadaan Diana yang sangat meruntun perasaan itu, sepupunya itu seperti hampir putus nyawa.

“KAU tolonglah aku pujuk dia.”
Fathia mengeluh berat. Berat mata memandnag, berat lagi bahu yang memikulnya, Sukar untuk dia bersetuju, dia tahu kedegilan seorang insan yang bernama Diana itu. Meskipun mereka amat rapat, tidak semestinya setiap patah perkataannya akan dituruti oleh Diana.
“Aku akan cuba.”
“Tolonglah…”
“Aku cakap aku akan cuba kan?”
“Aku betul-betul sukakan dia Thia.”
“Aku tahu.”
“Aku tak dapat bayangkan hidup aku tanpa dia.”
“Aku faham.”
“Apa yang kau faham?” Tukas Taufik Idham, padanya tiada siapa pun akan faham akan perasaannya terhadap gadis yang bernama Diana Murad itu.
Fathia mengeluh.
“Maksud aku, aku tahu kau gilakan dia, tapi dia bukan perempuan yang mudah jatuh cinta Idham, Diana penuh dengan cita-cita, cinta sayang semua ni dia tolak tepi dulu.”
“Sebab itu aku nak kau tolong pujuk dia.” Wajah tampan Taufik Idham nampak sugul dan suram.
Kali ini Fathia merengus kasar, geram juga dia pada Taufik Idham, yang berupaya untuk memikat sepupunya itu, entah apa juga kelebihan yang dimiliki oleh sepupunya yang amat sederhana itu, wajahnya tidaklah secantik mana, agak pendiam lagi, degil lagi, keras kepala lagi, huh!
“Aku akan cuba pujuk dan cakap dengan Di pasal kau yang dah nak meroyan ni, tapi aku takkan paksa dia tau!” Hanya itu sahaja yang termampu diperkatakan oleh Fathia.
Taufik Idham tidak ceria wajahnya, seumur hidupnya tidak pernah dia menaruh perasaan yang kuat pada mana-mana wanita, tapi dengan Diana Murad, jantungnya tidak berhenti dari berdegup kencang. Panahan mata gadis itu memang amat mendebarkan jiwanya, tidurnya bermimpikan Diana, makannya berulamkan senyuman Diana, mandi berbasahkan gelak tawa manja Diana, dia sememangnya sudah angau.
“Pelik aku dengan kau ni, banyak-banyak perempuan, Diana tu juga yang kau angaukan.” Rungut Fathia.
Taufik Idham tersenyum sedikit, wajahnya kelihatan berseri sedikit.
“Kau mana faham.”
“Apa yang aku tak faham?”
“Kau tak macam Diana.”
“Memanglah aku bukan Diana, tapi tak adakah perempuan lain yang boleh kau gilakan? Aku tolong uruskan, dengan Diana susah sikit lah…”
“Alah…”
“Ok ok!” Fathia mengangkat kedua belah tangannya, sebelum lelaki itu meroyan semula, ada baiknya dia menghentikan sinetron drama lelaki itu.
Taufik Idham ketawa lucu, akhirnya.
“Aku akan tolong kau, supaya kau tak sasau, tapi…” Fathia mengangkat jari telunjuknya.
“Tapi apa?”
“Kalau dia tak nak kau, aku harap kau tak jatuh menyembah bumi,” Fathia ketawa. Dahi Taufik Idham sudah berkerut seribu.
“Dan lagi…”
“Apa?”
“Kalau dia balas cinta dongeng kau ni, dan kau kecewakan dia, aku orang pertama yang datang hancur lumatkan rambut kau!” Ugutan Fathia kira menggerunkan juga, sebab gaya rambut Taufik Idham pada ketika itu memang menjadi daya ikutan, gel rambut yang digunakan mungkin berbotol-botol seminggu.
Arghh… kenangan silam yang indah, betapa engkau telah jauh berlalu dan meninggalkan memori penuh kelukaan sekarang, kasihan Diana,
Kau akan terima pembalasan di atas perbuatan kau ni Idham, samaada cepat atau lambat saja. Kau tunggulah!
Fathia menyeka air matanya yang sejak dari tadi memuntahkan laharnya. 

[Bersambung...]

Boringkan?? Hahahaa

9 comments: